Categories: Trending

Disambar api lilin kek hari jadi, mimpi ngeri buat remaja ini!

Sambutan hari jadi seorang pengguna Twitter @Dxnots bertukar menjadi mimpi ngeri apabila nyalaan lilin kek hari jadinya menyambar rambutnya.

Menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya, remaja lelaki itu menulis, “Kisah sedih tak berapa lucu yang ringkas buat pengajaran semua. Happy birthday to me.”

Remaja itu turut berkongsi video berdurasi 23 saat yang memaparkan detik kejadian itu berlaku. Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut mendapat lebih 240,000 tontonan dan hampir 15,000 ulang kicau sejak dikongsi pada jam 11.02 pagi, 9 Mac.

Sewaktu kejadian, remaja berkenaan meraikan ulang tahun kelahirannya di sebuah restoran bersama-sama beberapa orang rakan.

Ketika pelayan menghantar kek yang sudah dinyalakan lilin ke meja remaja berkenaan, rakan-rakannya serentak menyanyikan lagu hari jadi sambil menyemburkan busa buih parti kepadanya.

Remaja itu kemudian menundukkan kepalanya untuk melindungi diri daripada semburan tersebut.  Tanpa diduga, nyalaan lilin itu terkena busa buih aerosol dan terus menyala.

Kejadian yang berlaku dengan pantas itu menyebabkan rambutnya terbakar sedikit. Rata-rata netizen di Twitter yang meninggalkan komen akui berasa lucu dan terhibur dengan video tersebut.

Kredit: Twitter @dxnots

Jadi, kepada anda yang mempunyai perancangan menyambut ulang tahun kelahiran, hati-hati menggunakan busa buih parti itu. Bahan itu mudah terbakar dan sudah diletakkan tanda amaran di botol supaya digunakan jauh daripada api.

Semoga kejadian yang berlaku kepada remaja berkenaan menjadi iktibar kepada semua.

Ad Ops