Categories: Eat TravelFeatured

Ini rahsia kuah laksa yang dimasak sedap!

Laksa adalah antara menu yang tidak jemu dimakan, bahkan sekitar tahun 80-an dahulu, laksa juga menjadi menu utama dalam kenduri perkahwinan di Kelantan.

Laksa yang dimakan dengan kuah lemak putih yang diperbuat daripada ikan itu turut dihidang bersama belacan, ulam-ulaman dan sambal cili.

Zaman berubah dan laksa kini tidak lagi menjadi menu utama dalam kenduri di Kelantan kerana nasi minyak mengambil alih di meja hidangan.

Bagaimanapun, ia tetap menjadi buruan penggemar laksa lebih-lebih lagi menu laksa kini boleh didapati dalam pelbagai gaya.

Ada laksa Kelantan, laksa Kedah, laksa Johor, laksa Sarawak dan laksa Siam yang cukup terkenal di Kelantan terutama di Pasir Mas.

“Saya memastikan menggunakan bahan segar untuk menyediakan kuah laksa di kafe.” – Nina Falina.  Foto: Arkib Hijab & Heels.

Pemilik Restoran Kafe Cloves di Bandar Baru Bangi, Nina Falina Hamidun, berkata keenakan laksa terketak pada kuahnya.

“Laksa sama sahaja, tapi kuah itu yang membezakan ia sedap atau tidak. Kami di Cloves memastikan laksa Kedah yang kami hidangkan kepada pelanggan yang datang dimasak menggunakan bahan terbaik.

“Saya membeli bahan segar terutama ikan setiap hari untuk menyediakan kuah laksa, apabila guna ikan segar mutu kuah laksa juga lebih sedap,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Nina Falina sentiasa berbincang dengan petugas Kafe Cloves demi menjaga mutu makanan di kafe miliknya. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Beliau mempelajari cara menyediakan kuah laksa daripada ibunya yang menggunakan resipi warisan keluarga mengakui faktor kemahiran dan kebersihan juga perlu diberi perhatian.

“Saya belajar daripada emak untuk memasak kuah laksa Kedah ini. Lama kelamaan sudah boleh agak apa yang perlu dilebihkan, apa yang perlu dimasak lama.

“Perkara paling asas, jaga kebersihan dan mutu bahan yang digunakan untuk menyediakan kuah, begitu juga dengan ulam seperti timun, salad dan nanas,” katanya.

Nina yang mengusahakan kafe Cloves bersama suami, Azuan Omar bermurah hati berkongsi resipi laksa Kedah kafe Cloves dengan pembaca Hijab & Heels.

Laksa Kedah yang sangat enak ini boleh didapati di Kafe Cloves di Bandar Baru Bangi dan juga di Wangsa Maju. Foto: Arkib Hijab & Heels.

Laksa Kedah Kafe Clove

Bahan:

500gm ikan selayang

1 inci belacan

2 biji bawang besar

1 batang bunga kantan

Segenggam cili kering

Asam keping

GaraDaun kesum

Air secukupnya

Cara penyediaan:

1. Rebus ikan selayang sehingga masak, sejukkan dan kemudian asingkan bahagian isi dan tulang. Kisar isi ikan menggunakan air rebusan.

2. Kisar bawang merah, cili kering dan belacan kemudian tumis bahan-bahan ini.

4. Masukkan isi ikan yang telah dikisar. Kacau adunan sehingga mendidih perlahan.

5. Setelah mendidih, masukkan bunga kantan, asam keping dan daun kesum.

6. Perisakan dengan garam mengikut kesesuaian.

Shaidah Shafie