Categories: Trending

Drama Bersiri Terkenal ‘Nur’ Bersiaran Di Indonesia

Drama bersiri ‘Nur’, karya yang pernah mencetus fenomena dan mencatat jumlah tontonan yang tinggi di TV3 dan digital, melebarkan tayangannya ke Indonesia melalui kolaborasi Sistem Televisyen Malaysia Berhad dengan MNCTV.

Melalui perjanjian tersebut, ‘Nur’ musim 1 dan 2 akan ditayangkan secara serentak di dalam semua rangkaian platform MNC Media bermula pada hari pertama bulan Ramadan.

Drama kegemaran ramai, arahan pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin dibintangi barisan pelakon handalan seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Drama bersiri ini mengisahkan dilema kisah cinta dua insan dengan latar belakang yang berbeza, tentang sebuah cinta terlarang hubungan di antara seorang ustaz muda bernama Adam dengan seorang pelacur wanita bernama Nur yang digelar ‘gadis lorong’, yang tidak mendapat didikan agama yang sempurna. Kisah cinta tragis yang mendapat tentangan hebat dari keluarga dan masyarakat.

Ketua Pegawai Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata:

“Kami sangat teruja dengan kolaborasi ini dan ia merupakan satu langkah yang tepat memandangkan populariti drama ‘Nur’ dan jumlah tontonan yang capai di stesen TV3. Kami juga gembira kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperluaskan lagi sayap drama ini ke luar negara”.

Pengarah Program MNCTV, Endah Hari Utari, berkata:

“Kami merasakan yang drama bersiri ‘Nur’ ini sangat menarik, menghiburkan dan merupakan sebuah hasil produksi yang hebat. Ini merupakan alasan utama kami memilih ‘Nur’. Drama ini akan menjadi tambahan variasi kepada kandungan sedia ada dan berbeza berbanding program-program yang biasa ditayangkan dalam MNCTV sebelum ini. Kami juga yakin yang drama hebat ini akan mengimarahkan lagi suasana bulan Ramadan dalam MNCTV.”

‘Nur’ akan ditayangkan pada hari pertama Ramadan di semua rangkaian platform MNC Media (termasuk FTA (Free To Air TV), siaran TV berbayar yang boleh dilayari secara serentak di telefon bimbit, internet dan platform OTT).

Padin