Categories: FeaturedTrending

Fana Couture ambil inisiatif jahit secara percuma PPE petugas barisan hadapan

Kekurangan pakaian pelindung diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan yang sedang berjuang mengendalikan wabak COVID-19 mendapat perhatian dan membuka mata ramai pihak untuk tampil membantu.

Selain beberapa pereka fesyen terkenal yang tampil menawarkan perkhidmatan serta menghulur sumbangan PPE, jenama pakaian muslimah popular, Fana Couture juga mengambil inisiatif yang sama memulakan projek amal dengan menjahit secara percuma PPE untuk kegunaan jururawat serta petugas barisan hadapan di hospital.

Fana Couture menerusi laman sosialnya menguar-uarkan perkhidmatan menjahit secara percuma bagi mana-mana hospital yang memerlukan.

Setakat ini, pihak mereka menjahit lebih 300 pasang tudung pakai buang untuk beberapa hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur dan KPJ Kajang.

Pihak mereka turut menerima ribuan material non-woven daripada pelbagai hospital untuk menjahit pelindung kepala, pakaian dan pelindung kasut. Semua proses jahitan dilakukan di pusat pengeluaran mereka di Batu Caves, Selangor.

Terdahulu, Fana Couture turut menyumbang 600 tudung sarung kepada petugas wanita di beberapa hospital antaranya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi memudahkan mereka menjalankan tugas dengan selesa.

Semoga dengan bantuan daripada pelbagai pihak itu dapat membantu petugas barisan hadapan untuk terus berjuang memerangi wabak COVID-19.

Kredit gambar: Facebook Fana Couture

Ad Ops