Categories: FeaturedTrending

Gaun putih buah tangan Jovian untuk wirawati kesihatan

Selepas beberapa pereka fesyen seperti Datuk Radzuan Radziwill, Datuk Rizalman Ibrahim dan Rizman Ruzaini mengambil inisiatif menyediakan peralatan untuk petugas kesihatan, terkini Datuk Jovian Mandagie juga tampil memberikan sumbangan sebegitu.

Menerusi laman media sosial Instagram @joviamandagie dan @jovianrtw, beliau berkongsi mengenai ruang kerjanya yang kini sibuk dengan tugas menyediakan pakaian pelindung diri (PPE) untuk petugas kesihatan yang kebanyakannya wanita.

Selain menyediakan gaun putih itu beliau turut menyediakan kit kesihatan dinamakan Jovian hygiene kit untuk diberikan kepada petugas kesihatan yang banyak berkorban masa dan tenaga demi kesejahteraan rakyat Malaysia pada ketika ini.

Jovian yang juga suami kepada Datin Nina Ismail Sabri berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu pasukan petugas kesihatan khasnya dan negara amnya yang berkorban masa dan tenaga untuk membantu pesakit yang dijangkiti COVID-19.

“Ketika kita selamat di rumah, mereka (petugas kesihatan) bertungkus-lumus di hospital memerangi wabak ini. Sekurang-kurangnya apa yang kami lakukan ini dapat membantu mereka dan satu bentuk penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

“Saya juga tidak pernah terfikir bengkel menjahit saya akan bertukar menjadi makmal perubatan,” tulisnya pada hantaran di dalam Instagramnya.

Dalam beberapa hantaran yang dikongsikannya turut memaparkan Jovian dan kakitangannya bekerjsama menyediakan kit kesihatan.

Ketika ini jumlah kumulatif kes jangkitan COVID-19 di Malaysia terus meningkat kepada 3,793 kes, manakala kes kematian 62 kes. Jika tidak dapat membantu petugas barisan hadapan, sekurang-kurangnya kekal berada di rumah juga satu bentuk bantuan dengan tidak meningkatkan lagi jumlah jangkitan sedia ada

Shaidah Shafie