Categories: Trending

Keberkesanan Vaksin Sinovac & Pfizer Adalah Sama – Dr Noor Hisham

Mungkin ada dalam kalangan kita yang masih ragu-ragu dan kurang faham mengenai keberkesanan vaksin yang digunakan dalam negara sehingga ada yang mengambil keputusan untuk memilih jenis vaksin mereka.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, keberkesanan vaksin Sinovac dari China adalah sama dengan vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) dalam melawan Covid-19.

Ia dibuktikan dengan data perubatan yang menunjukkan keberkesanan vaksin Sinovac dalam penggunaan secara praktikal.

Beliau turut berkongsi laporan Jurnal Perubatan New England yang diterbitkan pada 7 Julai mengenai penggunaan Sinovac di Chile menerusi muat naik di laman Facebooknya.

 

“Data membuktikan, tidak ada banyak perbezaan antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaannya.

“Kedua-duanya sangat berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan terhadap gejala ringan atau tidak bergejala,”

Tambahnya lagi,  Kementerian Kesihatan Israel juga menunjukkan bahawa vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 64 peratus iaitu 93 peratus berkesan terhadap penyakit teruk yang menyebabkan kemasukan ke hospital.

“Sinovac didapati mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

“Ia juga mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus” jelasnya.

Salma Syahbuddin