Categories: Trending

Khai Bahar Luah Rasa Sengsara

Penyanyi Khai Bahar meluahkan rasa kecewa menerusi single terbaru berjudul Sengsara.

Sengsara merupakan buah tangan terbaharu Khai selepas lagu cinta ‘Hilang Gelita’ yang mewarnai drama Kisah Cinta Rumi.

Lagu ciptaan trio komposer hebat John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K ini merupakan lagu runut bunyi (OST) kepada filem Dendam Penunggu.

Dendam Penunggu merupakan filem eksklusif pertama dari tonton CINEMA dan akan menemui penonton pada bulan Ogos depan.

“Syukur alhamdulillah Khai sangat berbesar hati apabila pihak Monkey Bone menawarkan kepada Khai untuk menyanyikan lagu Sengsara untuk OST Dendam Penunggu. Semasa mendapat tawaran tu agak last minute dan kami terus setuju tanpa berfikir panjang sebab diberikan peluang kerana lagu ni sangat sedap dan unik.

“Alhamdulillah sempat disiapkan walaupun ada cabaran tersendiri dengan keadaan pandemik COVID-19 di negara kita. Harapan Khai lagu ni akan dapat dihayati dan diterima oleh pendengar semua. Khai pun tidak sabar nak menonton filem Dendam Penunggu ini pada bulan Ogos nanti,” kata Khai.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman Media Prima, Nor Shahila Harun Shah turut meluahkan perasaan gembira apabila Khai Bahar sudi menerima tawaran untuk menyanyikan lagu Sengsara ini.

“Khai Bahar mempunyai mutu suara yang lunak dan mudah melekat di telinga pendengar. Kami yakin dengan kebolehan Khai untuk menyampaikan sebuah lagu ini dengan baik. Harapan kami agar peminat Khai akan dapat menyokong lagu single terbaharu Khai ini,” kata Shahila.

Sengsara sudah boleh di strim di semua pelantar digital dan lirik video rasmi Sengsara pula dapat di tonton di YouTube Monkey Bone.

Padin