Categories: Trending

“Single Ini 5 Kali Bertukar Versi” – Fattah Amin Ambil Masa Setahun Siapkan Lagu Hamba

Pelakon dan penyanyi Fattah Amin kini muncul dengan single terbaharu berjudul Hamba bersama penyanyi rap Kmy Kmo.

Mengambil masa setahun untuk menyiapkan karya ini, Fattah juga tidak berkesempatan bertemu dengan Kmy kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dek kerana kekangan PKP, rasanya lagu ini bertukar versi sebanyak lima kali sebelum ia betul-betul siap. Prosesnya juga mengambil masa hampir setahun.

“Saya juga tak bersua muka dengan Kmy biarpun kami berkolaborasi dalam lagu ini. Saya hanya bagi lagu dan dia siapkan bahagiannya. Lirik juga ditulis Kmy sendiri dan saya amat berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Fattah juga mendedahkan dia selesa bekerjasama dengan Hafiz Hamidun selaku komposer lagu ini.

“Lagu ini sebenarnya termasuk dalam tiga projek khas yang saya jalankan bersama komposer Hafiz Hamidun. Saya selesa bekerja dengan Hafiz. Projek pertama adalah lagu Kiriman Agung dan diikuti pula dengan Sinar Selawat.

“Hamba berkisar kepada penyerahan jiwa seorang hamba kepada Tuhannya. Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan rintangan, kita jangan mudah putus asa,” katanya lagi.

Lagu Hamba boleh distrim di semua pelantar penstriman digital bermula 23 Julai 2021 dan lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube.

Padin