Anthony Loke ‘Menyamar’ Jadi Pengguna LRT, Tinjau Situasi Ketika Waktu Puncak – “Menteri Buat Kerja”

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meninjau sendiri situasi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, petang semalam.

Menerusi hantaran di FaceBook miliknya, Loke memberitahu dia meluangkan masa selama 2 jam pada waktu puncak bagi merasai sendiri pengalaman menaiki tren bersama pengguna lain.

“Petang tadi, saya meluangkan masa 2 jam untuk meninjau keadaan sebenar perkhidmatan LRT KJ line semasa peak hour di antara pukul 5-7 petang.

“Keadaan cukup sesak dalam tren dan sudah tentu tidak selesa kepada penumpang,” tulisnya.

Dengan mengenakan topi dan pelitup muka berwarna hitam dan tanpa ditemani mana-mana pegawai pihak Prasarana, Loke berkata dia akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam masa terdekat.

“Saya tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan Prasarana dan pihak media kerana saya nak mengalami sendiri keadaan sebenar seperti penumpang-penumpang iasa untuk merasai apa yang mereka perlu lalui setiap hari.

“Saya memahami kesulitan yang dihadapi oleh penumpang LRT. Saya akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Prasarana dalam minggu ini juga untuk membincangkan hala tuju dan cara untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam kita,” jelas Loke.

Terdahulu, perkhidmatan pengangkutan awam sering menjadi tumpuan pengguna sejak operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya digantung kerana mengalami gangguan sistem kawalan tren automatic (ATC) sehingga menjejaskan pengguna.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna memberikan pelbagai reaksi terhadap tindakan Loke itu malah memuji keprihatinan Loke terhadap masalah pengangkutan awam di Malaysia.

Khairil Khusyairi