Gatick Padam Kiriman Teks Untuk Lacurkan Tangmo Terbongkar

Nampaknya kes siasatan kematian mendiang, Nida Patcharavirapong atau Tangmo Nida masih berjalan.

Ia selepas helah rakan baik dan juga pengurus aktres popular Thailand iaitu, Gatick Juthasuksawat terbongkar.

Difahamkan, Gatick telah memadam segala data di dalam telefon pintarnya dan juga telefon milik mendiang sebaik sahaja kejadian malang tersebut berlaku. Bagaimanapun, helah tersebut tidak berjaya apabila polis negara itu berjaya menjejaknya semula.

Aduan mengenai perkara tersebut dibuat oleh ibu Tangmo, Panida Siriyudthayothin kepada pihak polis sebelum pasukan penyiasatan itu mengembalikan data yang telah dipadamkan Gatick.

Selain itu, Panida juga bertindak memfailkan aduan terhadap Gatick atas tuduhan cuba memusnahkan bukti kejadian.

Memetik laporan media tempatan, data yang dipadamkan oleh Gatick termasuklah perbualan bersama seorang individu kenamaan berhubung ‘penjualan’ Tangmo, bil hotel atas nama mendiang dan nombor telefon bimbit mencurigakan yang berakhir dengan digit 666 dan 4444.

“Bekas polis Thailand, Santhana, sempat menemui dua nombor Very-Very Important Person (VVIP) yang menghubungi Gatick pada malam kejadian,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai Gatick menjual Tangmo kepada individu kenamaan tersebut masih tidak dapat dibuktikan.

 

Sumber:BangkokPost

Salma Syahbuddin