Ibu Sedang Bertarung Nyawa Di CICU, Remy Ishak Mohon Doa Supaya Dapat Bersama Semula

Pelakon Remy Ishak memuat naik sebuah hantaran di akaun Instagramnya memaklumkan bahawa ibu tercintanya sedang bertarung nyawa di CICU Hospital Serdang hari ini.

Menerusi hantaran tersebut, Remy turut memberitahu bahawa ibunya telah menjalani pembedahan jantung selama 10 hingga 12 jam.

“Ibu saya Basirah binti Md Dris kini sedang bertarung nyawa di CICU Hospital Serdang untuk pembedahan jantung. Setelah 10-12 jam di dalam bilik pembedahan, operasi diberhentikan semula selepas 48 jam,” jelasnya.

Sehubungan itu, Remy dan adik beradiknya turut berikhtiar dengan melakukan solat hajat memohon kesembuhan dan dipermudahkan urusan ibunya.

Pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu turut memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan supaya dia dan adik beradiknya dapat bersama dengan ibu mereka semula.

Dua hari lepas, Remy Ishak ada membuat ciapan di Twitter menyatakan bahawa ibunya sedang kritikal di Hospital Besar Melaka.

Atiqah Johari