Sambut Birthday Ibu ke-64, Remy Ishak Ucap Jutaan Terima Kasih Pada Pakar Bedah

Pada Ogos lalu, pelakon Remy Ishak pernah berkongsi mengenai ibunya, Basrah Md Dris mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi jantung (CICU) Hospital Serdang dan turut meminta orang ramai mendoakan ibunya.

Artikel Berkaitan: Ibu Sedang Bertarung Nyawa Di CICU, Remy Ishak Mohon Doa Supaya Dapat Bersama Semula

Terbaharu, Remy memuat naik sebuah perkongsian di laman Instagram yang menunjukkan dia dan ahli keluarga sedang menyambut hari ulang tahun kelahiran ibunya itu.

Menerusi hantaran tersebut, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu meluahkan rasa syukur apabila ibunya sudah beransur pulih dan boleh menyambut hari ulang tahun bersama dengan ahli keluarga.

“Syukur Alhamdulillah, Mak beransur pulih, tahun ni dapat sambut hari ulang tahun yang ke-64 dengan anak-anak. Terima kasih Ya Allah,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, Remy turut mengucapkan terima kasih pada kesemua pakar-pakar bedah, doktor dan petugas di Pusat Jantung Hospital Serdang yang bertungkus lumus membantu dan merawat ibunya.

“Jutaan terima kasih buat pakar bedah Mr Ahmadi, Mr Thonas, Mr Suman, doktor-doktor pakar dan semua petugas di Pusat Jantung Hospital Serdang yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa mak semasa dan selepas waktu pembedahan. Moga Allah memberi rahmat dunia dan akhirat buat kalian,” ujarnya.

Tidak terlupa, Remy turut mengucapkan terima kasih pada pengikutnya yang mendoakan kesihatan dan keselamatan ibunya tempoh hari.

“Terima kasih juga pada anda semua yang sama-sama mendoakan untuk mak tempoh hari, moga dirahmati jua.

“Fuh, 2022. What a journey,” akhiri Remy.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa gembira apabila melihat ibu tercinta Remy sudah beransur pulih dan turut mengucapkan selamat hari lahir kepadanya.

“Tak ada apa boleh gantikan rasa bahagia, tenang, lega apabila tengok ibu tercinta sihat sejahtera. Faham sangat rasa itu. Moga ibunda terus kuat dan sihat.

“Alhamdulillah, Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-64 bonda Remy Ishak. Moga dikurniakan kesihatan yang baik. Aamin. InshaAllah,” komen netizen.

Bukan itu sahaja, ada juga segelintir yang memuji Remy kerana menyepikan diri dari memuat naik perkongsian di Instagram demi menjaga kesihatan ibunya.

“Saudara Remy, 4 bulan saudara menyepi diri dari posting Instagram demi mengabdikan diri menjaga bonda tercinta. You did the right and the best thing brother! Semoga Allah swt terus memberkati hidup saudara sekeluarga dan terus mengurniakan kesembuhan kepada bonda,” komen netizen.

 

 

Dharnieya Nur Amelsa