“Selagi Boleh Elak Akan Saya Elakkan…” – Sharifah Rose Akui Salah Bersentuhan Dengan Lelaki Dalam Drama

Pelakon jelita, Sharifah Rose bersetuju mengenai babak yang memerlukan untuk bersentuhan adalah isu yang sensitif dan menjadi salah satu kesalahan terutama untuk wanita yang bertudung.

Memetik laporan Gempak, Rose hanya melakonkan babak mesra bersama lelaki atas sebab tanggungjawab untuk melaksanakan tugasan yang diberi.

Menurutnya, dia sudah memberitahu terlebih dahulu kepada pengarah dan produser untuk mengelakkan diri daripada melakonkan babak mesra atau negatif.

“Pada awal pengambaran saya beritahu pihak produser dan pengarah jika ada babak yang mesra atau sensitif selagi boleh elak akan dielakkan.

“Tapi kalau babak itu memang perlu bersentuhan, contohnya saya pengsan dan dia (pelakon lelaki) perlu angkat atau tolong saya, itu mungkin benda yang tidak boleh dielak.

“Saya pelakon, itu tanggungjawab sebagai seorang pelakon. Bukan nak kata saya tak kisah sangat, tapi saya masih tahu batas,” kata Rose.

Tambahnya, walaupun masih dalam proses memperbaiki diri menjadi pelakon yang lebih baik namun dia tetap dengan pendirian berkenaan isu bersentuhan.

“Saya akui babak yang bersentuhan itu adalah agak sensitif bagi sesetengah netizen, saya tidak akan menegakkan benang yang basah, yang salah tetap salah.

“Daripada itu saya belajar sesuatu juga untuk menjadi pelakon lebih baik,” kata Rose lagi.

Terdahulu, satu babak bersentuhan tangan lakonan Rose bersama pelakon lelaki telah menjadi bualan hangat dan kritikan netizen.

 

Sumber: Gempak

Dharnieya Nur Amelsa