Categories: Trending

Kutip Sampah Usai Perlawanan Bola Sepak, Alahai Sweetnya YB Syed Saddiq

Aksi bersahaja Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengutip sampah usai perlawanan akhir Piala FA di antara Pahang dan Selangor yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu, membuatkan ramai penonton tergamam dan malu alah dengan perbuatan mereka membuang sampah merata tempat.

Menerusi entri di Twitter, Syed Saddiq menjelaskan tindakan yang dilakukan itu adalah untuk membersihkan kawasan duduk stadium yang telah digunakan dan mengajak orang ramai melakukan perkara sama.

Foto: Bulletin Media

“Saya pantang kalau nampak orang buang sampah merata-rata. Bagi mereka yang mengenali saya, ini bukan one-off. Kalau kawan buang puntung rokok pun saya pergi kutip. Biar dia malu dan tak akan buat lagi.

“Instead of the negativity, why don’t we all start doing the same,” tulisnya.

Semalam tular di media sosial, apabila Syed Saddiq membawa plastik hitam besar mengutip sampah yang ditinggalkan penyokong di tempat duduk seperti bekas minuman dan tisu.

Tindakan yang dilakukan oleh Syed Saddiq ternyata mendapat pujian ramai dan mereka kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut memuji tindakan Syed Saddiq itu dan menyifatkannya ia satu sikap baik yang boleh dicontohi untuk negara yang bersih.

Foto: Utusan Online

“Tahniah @SyedSaddiq tunjuk contoh yang baik. Dulu saya kutip sampah di Perak, ada pemimpin parti maki dan kutuk saya kononnya mencari publisiti murahan.

“Jangan peduli cacian, teruskan tunjuk sikap yang baik yang boleh dicontohi utk negara yang bersih,” komennya di Twitter, semalam.

Pada perlawanan tersebut, Pahang merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ketiga setelah menewaskan juara lima kali, Selangor, 2-0.

Dua gol pasukan Tok Gajah menerusi aksi pemain Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23, dan dihadiahkan penalti pada minit ke-61 selepas pertahanan Selangor, Alfonso De La Cruz menjatuhkan Agustine Iwuji sebelum Patrick Cruz tenang menyempurnakannya.

Sumber Artikel : Malaysia Kini

Sumber Video : YouTube

Yanie Baharom