Categories: Trending

Lan Pet Pet Didakwa Pukul Abang Rider, Saiful Apek Mohon Orang Ramai Tak Jatuhkan Hukuman

Pelawak Saiful Apek mendedahkan dia belum lagi berhubung dengan sahabatnya, pelawak Lan Pet Pet yang terpalit dengan kontroversi baru-baru ini.

Menurut Apek atau nama sebenarnya, Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff, 52, pada awalnya dia tidak mengetahui kontroversi yang melibatkan rakan baiknya itu.

Pada malam Ahad lalu, video seorang lelaki yang dipercayai Lan didakwa memukul seorang jejaka penghantar makanan tular di laman sosial dan menarik perhatian netizen.

Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya, lelaki itu dilihat merangkul leher penghantar makanan terbabit dan memukul kepalanya.

“Sejujurnya, saya tak tahu langsung mengenai kontroversi melibatkan Lan sampailah orang lain bagi tahu saya.

“Saya kenal sahabat saya macam mana, jadi saya dan rakan-rakan Senario lain tak menghubunginya dia. Biarkan sahaja dahulu,” katanya.

Jelas Apek, orang luar tidak seharusnya cepat menjatuhkan hukuman kerana kita sendiri tidak mengetahui hal sebenar.

“Kami sendiri mahu memberi dia ruang untuk menyelesaikan apa yang terjadi. Saya cakap macam ni bukan kerana nak ‘back-up’ kawan atau apa.

“Tetapi, sebagai orang luar kita tidak seharusnya campur tangan atau terlalu cepat ‘jatuh hukum’. Kita sendiri pun tak tahu situasi sebenar apa yang berlaku.

“Kami (Senario) ini dah macam ahli keluarga. Sejak dulu pun kalau salah seorang ditimpa masalah atau kontroversi, masing-masing akan biar keadaan ‘sejuk’ dulu dan tunggu masa yang sesuai untuk buka mulut,” katanya lagi.

Apek ditemui di majlis buka puasa malam aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 serta pelancaran rasmi G-Asfal, minuman campuran roselle dan kunyit hitam anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre pada Isnin.

Selain Apek, majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Mawi, Syanie, Along Cham, Zalif Sidek dan Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas Vieura Group, Ahmada Muazzam Tasaki.

Padin