Categories: Trending

Lebih 20 Tahun Dalam Industri, Farid Kamil Sedia Untuk Bersara – “Saya Sudah Hasilkan Legasi…”

Pelakon Farid Kamil tidak menyangka pembabitannya dalam industri seni tanah air lebih dari 20 tahun ini menjadikan beliau lebih bersedia untuk bersara.

Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 40, menyedari sepanjang bergelar anak seni, beliau telah terlibat dalam 60 buah filem dan hanya tinggal 6 buah filem sahaja lagi bagi menyamakan rekod seniman Allahyarham  Tan Sri P. Ramlee.

Bagaimanapun, Farid hanya menyerahkan soal rezeki dan perancangan itu kepada ketentuan Ilahi.

“Saya sedar ini satu perjalanan yang panjang, daripada tak tahu apa-apa, masuk universiti sehinggalah didedahkan dengan perfileman.

“Apabila itu berlaku, pada saya hero filem Malaysia ini sejauh mana mampu bertahan, itu adalah berbalik kepada rezeki masing-masing,” ujarnya yang berhasrat mahu berlakon 100 buah filem.

Malah, keputusan untuk bersara itu diambil bukan kerana sudah tiada peminat atau haters dan kontroversi yang sering terpalit terhadap dirinya tetapi niat itu muncul apabila mengimbas penglibatannya dalam industri ini.

Selain itu, Farid juga mengakui penglibatan anak sulungnya, Muhammad dalam industri seni sedikit sebanyak menjadi petanda untuk beliau mula berundur sebagai pelakon.

“Apa yang saya cuba sampaikan saya sudah bersedia. Saya telah hasilkan hero baru iaitu anak saya, Muhammad dalam filem Rempit 2. Dan, apabila sudah ada legasi itu, petandanya saya sudah bersedia untuk bersara. “Jelasnya dalam satu sesi temu bual secara virtual bersama media pada Rabu.

Dalam perkembangan terkini, Farid Kamil akan muncul dalam drama terbaharu adaptasi novel, Masih Ada Cinta bergandingan dengan pelakon jelita, Mimi Lana dan akan bersiaran di TV3, pada setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7 malam.

 

 

Salma Syahbuddin