Categories: Trending

Masjid & Surau Mula Dibuka Esok, Termasuk Kebenaran Tunai Solat Aidiladha -JAWI

Kebenaran untuk membuka semula surau dan masjid di sekitar Wilayah Persekutuan bermula esok mampu mengimarahkan kembali rumah ibadat bagi umat Islam selepas arahan penutupan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

Menurut Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail, kesemua ketetapan baharu itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan akan berkuat kuasa 9 Julai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Solat Jumaat dan Solat Sunat Aidiladha, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 300 orang, Masjid Pusat Zon 100 orang, Masjid Kariah dan surau Jumaat 50 orang, Surau kebenaran Khas Solat Jumaat 40 orang, Surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 12 orang.
“Bagi Solat Fardu di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan 100 orang, Masjid Pusat Zon 50 orang, Masjid Kariah dan surau Jumaat 50 orang, surau kebenaran khas solat Jumaat 40 orang, surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 12 orang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Manakala bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD),  solat fardu akan dilaksanakan dengan melibatkan  tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat zohor.
Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sumber : Awani
Salma Syahbuddin