Categories: Trending

Pelajar Malaysia Ditemui Mati di Hyde Park London

Seorang penuntut Malaysia ditemui meninggal dunia di Serpentine Lake, Hyde Park, London, semalam.

Kematian Muhammad Hafiz Zainal, 24, disahkan bapanya, Zainal Epi yang juga Editor Bersekutu Malay Mail ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Zainal berkata, dia tidak mengetahui sebab kematian anaknya dan dihubungi Kedutaan Malaysia di London pada 2.30 pagi tadi memaklumkan berita sedih itu.
“Anak lelaki saya penuntut tahun tiga jurusan kimia di Kolej Imperial London sejak 2015.

“Sukar untuk saya jelaskan dengan lanjut berikutan tidak mengetahui apa berlaku, saya hanya dimaklumkan jenazah anak dikenal pasti melalui kad pelajarnya,” katanya.

Menurutnya, dia dan keluarga akan ke London malam esok bagi urusan membawa pulang jenazah Muhammad Hafiz.

Isteri Zainal, Zainab Mohamad ketika dihubungi memaklumkan kematian itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana terlalu sedih.

Sementara itu, portal Evening Standard melaporkan mayat seorang lelaki ditemui pada 5.51 pagi waktu tempatan di tasik berkenaan.

Jurucakap polis dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat terbabit dan sepasukan polis serta paramedik dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di lokasi kejadian pada 5.45 pagi, bagaimanapun lelaki berkenaan disahkan sudah meninggal dunia.

“Punca sebenar kematian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.- Harian Metro. 

SGMS Faida