Categories: Trending

Peniaga Durian Dikompaun RM1000 Jika Tidak Pamer Tanda Harga

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata pihaknya akan bertindak tegas kepada peniaga terbabit baru-baru ini kerana gagal mematuhi peraturan.

Menurutnya, di mana juga aktiviti perniagaan dijalankan sama ada tepi jalan termasuk premis dan warung tanda harga pada setiap produk jualan perlu diletakkan secara jelas untuk dilihat oleh pengguna.

“Sempena musim durian kini pegawai KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan di semua lokasi jualan raja buah bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga, tindakan kompaun akan dikenakan pada peniaga yang degil.

“Selain daerah ini aktiviti jualan durian tepi jalan banyak terdapat di Jerantut, Raub, Lipis, Bentong, Temerloh dan Rompin. Permintaan yang menggalakkan memberi kelebihan kepada golongan peniaga,” katanya hari ini.

Harga durian kampung dan klon tidak sama di setiap daerah, antara RM8 hingga RM15 sekilogram (kg) jenis kampung dan RM17 hingga RM50 kg jenis klon.

Tegasnya, peniaga durian yang gagal meletak tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, kompaun sebanyak RM1,000.

“Saya mengingatkan peniaga durian dan hasil pertanian lain supaya dapat mematuhi peraturan ditetapkan terutama membabitkan tanda harga termasuk alat timbang yang digunakan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover