Categories: Trending

Perak Buka Pawagam Pandu Masuk Pertama Di Malaysia Hari Ini

Perak menjadi negeri pertama di negara ini yang melancarkan panggung wayang pandu masuk dikenali sebagai Casuarina Sini-Drive di sini semalam.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata panggung yang terletak di Downtown Meru itu boleh memuatkan 70 kenderaan dan merupakan inisiatif Perak Corporation Berhad (PCB).

“Saya memperoleh ilham untuk mewujudkan panggung wayang pandu masuk ini daripada pengalaman sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP), apabila kita diarahkan mematuhi penjarakan sosial.

“Pengenalan pawagam ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan di Perak yang terkesan teruk ekoran pandemik Covid-19 dan diharapkan dapat menghidupkan lagi aktiviti pelancong yang datang ke Ipoh,” katanya pada sidang media pelancaran panggung wayang itu semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail berkata bayaran RM36 hingga RM42 dikenakan bagi setiap kenderaan dengan set snek serta minuman dan penonton boleh menikmati tayangan filem pelbagai genre, termasuk filem aksi dan Bollywood bermula 8 malam hingga 11 malam pada skrin berkeluasan 6x18m setiap hari, kecuali Isnin.

“Satu frekuensi khas akan diberi kepada penonton yang audio tayangan filem berkenaan dapat didengar terus dari radio kenderaan masing-masing.

“Kami bercadang untuk membuka panggung wayang pandu masuk ini di tempat lain seperti Kuala Kangsar dan Kampar, sekiranya mendapat sambutan.”

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover