Categories: Trending

Tiada Lagi Had Penonton Untuk Ke Konsert Dan Teater

Penganjuran konsert dan teater dibenarkan dihadiri lebih 250 penonton bergantung kepada kapasiti dewan acara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Bagaimanapun, beliau berkata, penganjur perlu mengamalkan penjarakan sosial antara penonton serta mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

“Kita tidak terhad kepada 250 orang, tetapi bergantung kepada saiz dan kapasiti ruang dewan…yang penting perlu ada penjarakan sosial untuk mengelak penyebaran virus ini,” katanya selepas menyaksikan “Konsert New Normal” di Istana Budaya semalam.

Mengambil contoh Panggung Sari, Nancy berkata, Istana Budaya hanya membenarkan 505 penonton berbanding 1,413 kerusi tersedia.

Pada 10 Julai lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, jumlah maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama, sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada penjarakan sosial bermula 15 Julai lalu.

“Konsert New Normal” yang diadakan semalam dan hari ini bertujuan memberi gambaran dan implikasi kepada setiap penganjur program mengenai garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan dan protokol Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang perlu diteliti penganjur sebelum mengadakan program sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Antara SOP diguna pakai Istana Budaya adalah penonton berumur 12 tahun ke bawah dan 60 tahun ke atas tidak dibenarkan memasuki dewan acara, pembasmian kuman dilakukan 2 kali sehari sebelum dan selepas pementasan serta penganjur perlu mengehadkan masa pementasan kepada sejam setengah.

Mengenai SOP menganjurkan konsert di kawasan terbuka atau stadium, Nancy berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama MKN dan ia akan diumumkan selepas mendapat kelulusan.

Sumber: Bernama

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover