Categories: Trending

“Rakyat Semakin Lalai Dan Leka” – Dr Noor Hisham

Peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga dua angka beberapa hari yang lepas ternyata menimbulkan kebimbangan ramai pihak. Apatah lagi, jumlah kes aktif kembali mencecah 130 kes setakat ini.

Justeru itu, tidak hairanlah sekiranya Dr Noor Hisham Abdullah mengkategorikan masyarakat kita pada hari ini semakin leka dan lalai dalam pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Jumlah kes aktif terus meningkat

Menerusi laman Facebook Dr Noor Hisham Abdullah, beliau sempat berkongsi mengenai perkembangan semasa kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, sehingga 21 Julai 2020, jumlah kluster yang aktif adalah 19 kluster, di mana terdapat 13 kluster baharu yang diumumkan dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini.

Tiga (3) daripada 13 kluster ini adalah berkaitan dengan penularan tempatan kes COVID-19 daripada kes import iaitu Kluster PUI Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa. Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan memandangkan ianya melibatkan kluster terpencil (isolated) di dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh.

Terus lalai & leka ATAU patuhi SOP

Tambahnya lagi, KKM menyambut baik keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kanan (Keselamatan), iaitu mewajibkan prosedur Kuarantin Wajib 14 hari kepada mana-mana warga asing atau rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan, berkuatkuasa 24 Julai 2020.

Tindakan ini bertujuan dapat mengelakkan daripada berlakunya pertambahan kluster baru.

Dan, harus diingat bahawa terdapat juga 9 kluster lain yang merupakan penularan berkaitan kes tempatan di dalam negara, dan tidak berkaitan dengan kes import.

Ini sekaligus menunjukkan masyarakat sememangnya telah mulai alpa dan leka, lalu mula tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Salma Syahbuddin