Categories: Trending

“Saya Lebih Kecewa Bila…” – Zynakal Akui Terkilan Lagu Sakit Gagal Ke AJL35

Penyanyi Zynakal mengakui terkilan apabila lagu nyanyiannya bersama Yonnyboii, Sakit gagal mara ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

Menurut Zynakal, dia rasa lebih kecewa apabila ramai peminat yang turut sama-sama meluahkan rasa sedih apabila lagu terbabit tidak menempah tempat 12 finalis ke pentas berprestij itu.

“Saya terkilan. Tipulah kalau tak ada rasa apa-apa. Namun begitu, saya lebih kecewa apabila ramai peminat yang turut bersedih dan meluahkan perasaan mereka kepada saya.

“Ramai yang meninggalkan komen dan mesej di laman Instagram, saya sendiri tak dapat buat apa-apa kerana kuasa tidak terletak di tangan saya. Saya dan Yonnyboii sudah melakukan yang terbaik dan bukan rezeki kami,” kata Zynakal ketika ditemui di rakaman program Melodi Xtra sebentar tadi.

Tambah anak saudara kepada penyanyi Zamani itu, dia berazam mahu terus menghasilkan karya terbaik di masa akan datang.

“Saya enggan terus memikirkan mengenai perkara yang telah terjadi. Semestinya pihak juri ada penilaian tersendiri, mereka pakar dalam bidang muzik dan mempunyai pengalaman, sedangkan saya hanya pendatang baru sahaja.

“Apa yang terjadi, saya memandangnya positif dan mahu terus melangkah menghasilkan karya-karya terbaik dan mempunyai mesej untuk menjadi halwa telinga peminat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Zynakal bakal muncul dengan single terbaru berjudul Perasaan yang bakal dilancarkan pada 19 Disember bersempena hari lahirnya yang ke-22.

Padin