Categories: Trending

Single Terbaru Jadi Bingkisan Terakhir Sandra Dianne

Meski jasad Allahyarhamah Sandra Dianne sudah tidak bersama kita, legasi ditinggalkannya masih utuh.

Tidak sempat memperdengarkannya sendiri, namun lagu terbarunya berjudul Sandra tetap dilancarkan.

Mendapat sentuhan komposer Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub, karya ini dicipta istimewa dengan muzik soul sememangnya penuh makna mendalam terutama buat Jonathan sendiri.

Menurutnya, bingkisan terakhirnya bersama Sandra Dianne ini penuh beremosi dan meruntun jiwa kerana jalan ceritanya berkisar mengenai seseorang yang ditinggalkan insan tersayang.

Berkongsi mengenai pembikinan itu sendiri, Jonathan ternyata hilang kata-kata dengan pemergian Sandra Dianne.

Baginya, penyanyi itulah yang sebenarnya paling layak mendapat kredit dalam menghidupkan lagu ini.

Mana tidaknya, jiwa lagu itu tidak mungkin seluar biasa tanpa alunan suara Sandra Dianne yang menjadi magis utama dalam Sandra.

“Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi tepat pada asalnya. Sebaik Sandra Dianne mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini. Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra Dianne.

“Tak sangka, dia berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya,” katanya.

Jika didengar secara kasar, lagu ini mungkin nampak santai namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam.

Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar di mana bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta.

Menurut Jonathan, inspirasi lagu ini terbit daripada kisah pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair awal tahun ini.

“Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya itu memang sangat meruntun hati. Daripada situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus.

“Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini. Namun, saya puji Sandra Dianne apabila berjaya menyalurkannya dengan baik.

“Proses pembikinan lagu ini sebenarnya mengambil masa lebih kurang sebulan sahaja. Selepas mendengarnya, Sandra Dianne pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini.

“Disebabkan itu, tidak lama pun masa yang diambil untuk merakam lagu ini. Kami berjaya siapkan dalam beberapa jam sahaja,” katanya.

Bercerita lanjut, menurutnya lagu Sandra Dianne dibuat bukan setakat untuk mereka yang kehilangan seseorang disebabkan meninggal dunia.

Sebaliknya, ia lagu yang sesuai dengan situasi sesiapa juga termasuk pasangan bercinta apabila ditinggalkan kekasih. Dalam pada bersedih, mereka tetap harus kuat meleraikan kesedihan itu.

“Lagu ini bukan membawa maksud untuk meratapi pemergian orang tersayang itu sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang melakukan refleksi terhadap hal itu.

“Bagaimanapun, elemen kesedihan itu pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta cara penyampaian bait-bait liriknya,” katanya.

Terdahulu, Sandra Dianne disahkan meninggal dunia pada 11 September selepas terbabit dalam nahas jalan raya.

Sandra boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube dan YouTube Music.

Padin