Categories: Trending

“Sisi Gelap Sebelum Kahwin… Jalin Hubungan Dengan Gambit Saifullah” – Ini Reaksi Isteri Bila Aaron Aziz Bawa Watak Lelaki Songsang

Pelakon Datuk Aaron Aziz mengakui isterinya, Datin Diyana Halik teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan lakonannya dalam drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa yang kini bersiaran di slot Samarinda TV3.

Menerusi karya adaptasi novel Imamku Lelaki Pendosa tulisan Umie Nadzimah itu, Aaron membawakan seorang suami yang berkahwin demi menutup rahsia hubungan cinta songsangnya.

“Saya membawakan watak Dean Ilyas yang berkahwin dengan Cahaya Malaika lakonan Sophia Albarakbah. Sebenarnya, Dean mempunyai sisi gelap sebelum berkahwin dan menjalin hubungan dengan Izfairin, lakonan Gambit Saifullah.

“Apabila saya memberitahu isteri mengenai watak yang saya bawakan, dia yang teruja dan tidak sabar. Dia gembira dan mahu melihat saya membawa watak berbeza berbanding karakter yang pernah saya jayakan sebelum ini.

“Isteri percaya saya boleh bawa watak terbabit dan memberikan sokongan untuk saya mewarnakan watak Dean Ilyas dengan cara tersendiri,” katanya.

Aaron ditemui di sidang media virtual drama bersiri Suamiku Lelaki Pendosa pada Selasa.

Tambah aktor prolifik ini, biarpun watak Dean Ilyas agak sensitif, isteri dan anak-anaknya bersikap terbuka kerana memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.

“Isteri faham dan tahu apa yang saya lakukan. Anak-anak juga pun okay sahaja. Ini hanya sekadar watak yang saya jayakan. Apa yang saya harapkan, penonton dapat menerima cerita yang dipaparkan dengan hati terbuka.

“Apa yang dibawakan dalam drama bersiri ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan kita. Ada pengajaran yang mahu dipaparkan, jadi saya berharap penonton dapat memberikan respons yang baik,” katanya lagi.

Selain Aaron, Sophia dan Gambit, karya 28 episod arahan Eyra Rahman ini turut dijayakan oleh Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Suamiku Lelaki Pendosa, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda, TV3.

Padin