“Itu Adalah Hak Saya! Kalau Betul Berbakat, Why Not?”- Erma Fatima Beri Tawaran Iqbal Zulkefli Jadi Pelakon

Walaupun namanya bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, usahawan dan penyanyi, Iqbal Zulkefli kini diberikan tawaran untuk menjadi seorang pelakon pula.

Memetik laporan Berita Harian, pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima tampil memberikan tawaran berlakon kepada anak muda berusia 27 tahun ini selepas mendapat kecaman hebat menerusi program nyanyian yang disertainya baru-baru ini.

“Selama ini, saya melihat Iqbal terlalu kerap berlakon dalam media sosial. Jadi, saya nak juga tengok adakah Iqbal berbakat di depan kamera.

“Justeru, saya menawarkan Iqbal berlakon dalam drama baharu berjudul Perempuan Itu yang bakal disiarkan di kaca TV3.

Tidak habis disitu, pengarah yang popular menerusi filem Jimi Asmara ini bagaimanapun menetapkan syarat agar Iqbal menghadiri sesi uji bakat sebelum keputusan untuk menjadi pelakon dibuat.

“Bagaimanapun, Iqbal perlu menghadiri sesi uji bakat terlebih dahulu. Keputusan boleh berlakon atau sebaliknya ditentukan oleh pengarah drama, Isma Yusoof.

“Nyata, menerusi sesi uji bakat selama dua hari, Iqbal sangat komited hadir ke sesi latihan dan lulus dalam ujian,” katanya.

“Kalau betul-betul berbakat, mengapa tidak?”

Tambahnya lagi, tiada istilah mengejar populariti atau rating apabila membuat keputusan untuk mengambil Iqbal berlakon.

Malah, Erma juga sudah malas dan lali memikirkan tanggapan orang di luar sana mengenai keputusan yang diambil.

“Jika nak ambil sesiapa dirasa berbakat sama ada bertujuan pemasaran ataupun bukan, itu adalah hak saya.

“Saya tak nak ambil peduli apa yang orang nak cakap soal niat saya. Sebelum ini, Datuk Aliff Syukri pernah diambil berlakon. Sama ada tujuan untuk pemasaran atau sebaliknya, terpulanglah pada pihak berkenaan.

“Kalau betul-betul berbakat, mengapa tidak?,” jelasnya.

Drama arahan Isma Yuso0f yang bakal disiarkan di TV3 berjudul Perempuan Itu turut menampilkan pelakon hebat seperti, Zul Ariffin, Mimi Lana dan ramai lagi.

Salma Syahbuddin