Categories: Trending

Solat Di Masjid, Surau Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan Dengan Kapasiti Penuh Dibenarkan Bermula Esok

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, memaklumkan ketetapan baharu itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

 

Bilangan jemaah bagi solat fardu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa esok.

 

Tambahnya, bilangan jemaah bagi solat Jumaat turut diperluas ke semua ruang sesuai di masjid, surau Jumaat dan surau diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

 

“Masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenar mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 meter”

 

Tazkirah & jamuan berbuka puasa TIDAK dibenarkan

Bagi aktiviti pengimarahan Ramadan, solat sunat Tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter dan dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah atau ayat pendek.

 

Manakala, tazkirah TIDAK dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih. Namun, tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus daripada kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

 

Bagi qiamullail, ianya hanya boleh dilaksanakan selama 30 minit sebelum waktu imsak. Pembayaran zakat fitrah secara manual atau pembayaran terus kepada amil dibenarkan di samping pembayaran secara dalam talian atau kaedah yang ditetapkan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

 

Selain itu, jamuan berbuka puasa atau iftar serta moreh TIDAK  dibenarkan tetapi jawatankuasa kariah boleh menyediakan makanan secara berbungkus selepas solat Tarawih untuk dibawa pulang jemaah dan  itu tertakluk kepada garis panduan ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Salma Syahbuddin