Categories: Trending

Terpaling Juara: RM5,000 Milik Shaz, Tiada Penyingkiran… Ini Recap Konsert Kedua!

Konsert kedua Terpaling Juara yang diacarakan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir berlangsung dengan meriah malam tadi di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Bersiaran secara langsung di TV3, Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) di anugerah paling berprestij.

Menerusi program yang menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff selaku juri tetap ini, tiga kapten akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #PlaylistAJL.

Minggu kedua ini lebih mengujakan apabila setiap peserta sudah diberikan kapten masing-masing bagi menonjolkan bakat mereka.

Minggu Kedua:

Rahmad Mega – Merisik Khabar (AJL 2, nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad)

Aqeesh –  Sumpah ( AJL 34, nyanyian asal Aina Abdul)

Ifa Raziah – Di Pintu Syurga (AJL 29, nyanyian asal Dayang Nurfaizah)

Aqmal – Raikan Cinta (AJL 16, nyanyian asal Datuk M.Nasir)

Hazami – Seribu Impian (AJL 10, nyanyian asal Casey)

Shaz – Selamat Jalan Romeo (AJL 9, nyanyian asal Ramlah Ram)

Menyerikan lagi konsert minggu kedua Terpaling Juara juga menampilkan persembahan lagenda daripada Juara Anugerah Juara Lagu 1 oleh penyanyi Dato’ Francissca Peter dengan lagu Sekadar Di Pinggiran.

Persembahan terbaik minggu kedua Terpaling Juara ini menyaksikan persembahan mantap Shaz yang menyampaikan lagu Selamat Jalan Romeo menjadi pilihan juri dan penonton.

Pemenang ditentukan dengan 70 peratus markah juri tetap dan 30 peratus markah undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

Diumumkan sebagai Persembahan Terbaik, Shaz berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Tema minggu hadapan juga telah ditetapkan oleh pihak produksi iaitu bertemakan ‘Cinta’.

Konsert minggu kedua Terpaling Juara juga menyaksikan tiada penyingkiran dilakukan sekali gus kesemua peserta mara dengan lagu masing-masing.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Terpaling Juara setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Terpaling Juara juga dapat disaksikan dengan strim langsung secara definisi tinggi di laman portal video www.tonton.com.my

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Khairil Khusyairi