4 Tahun Bekerja Sambil Belajar Sampai Dapat PhD, Kegigihan Abang Rider Ini Tarik Perhatian Pemangku Raja Pahang

Walaupun mencari rezeki sebagai penghantar makanan sepenuh masa sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menjadi penghalang bagi Mohd Akmal Azhar, 36, untuk menyiapkan tesis pengajiannya.

Atas usaha beliau bekerja sambil belajar selama empat tahun, akhirnya usaha itu membuahkan hasil apabila dia berjaya bergelar graduan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Teknologi Farmaseutikal.

Habiskan masa 10 hingga 12 jam sehari

Mengakui ia pengalaman yang sangat mencabar kerana terpaksa menghabiskan masa antara 10 hingga 12 jam sehari menghantar pesanan pelanggan di sekitar Bandaraya Kuantan, namun bapa kepada lima orang anak ini tidak mudah berputus asa.

“Cabaran yang paling utama sebenarnya dari segi masa. Ia kerana apabila sekatan dilonggarkan dan sewaktu itulah juga menjadi sibuk.

“Macam saya buat ini, sebelum ini adalah waktu siang sahaja dan pada sebelah malam itu, kita kena luangkan masa untuk fokus pada tesis walaupun sebenarnya tidak banyak masa,” ujarnya.

Justeru itu, tidak hairanlah jika usaha dan semangat beliau berjaya menarik perhatian Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sehingga beliau diundang ke Istana Abdul Aziz untuk mengadap.

Harap orang ramai tidak pandang rendah kepada penghantar makanan

Dalam pada itu, Mohd Akmal turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengajian Bioteknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berharap agar orang ramai tidak memandang rendah kepada penghantar makanan dan beranggapan golongan itu tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Menurutnya, kerja sebagai rider banyak mengajar beliau cara berkomunikasi, memupuk sifat sabar dan kemahiran pengurusan masa.

“Kita jangan pandang rendah pada penghantar makanan ini kerana kalau kita lihat sebenarnya, geng-geng penghantar makanan ini, kawan-kawan saya ini juga pun ada degree, master pun ramai.
“Mereka ini sebenarnya jadi penghantar makanan secara part-time sahaja, yang kerja hebat-hebat pun ada dengan latar belakang yang bagus.
“Tapi itulah hakikatnya, masyarakat kita ini sering mempunyai sentimen yang tidak baik, padahal sebenarnya mereka (rider) ini datangnya dari pelbagai latar belakang sebenarnya, asalkan rezeki halal, Alhamdulillah,” tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila sebuah syarikat penghantar makanan mengucapkan tahniah kepada Mohd Akmal atas kejayaannya beliau memperoleh PhD.
Salma Syahbuddin