Bantuan Sehingga RM56,000 Buat Mangsa Banjir – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan perutusan sambutan Tahun Baharu 2022 pada Jumaat memaklumkan bahawa, kerajaan kini bersetuju menaikkan nilai bantuan Banjir Keluarga Malaysia kepada mereka yang terkesan.

Ini termasuklah, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 yang akan diberikan kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini.

Selain itu, pemberian baucar tunai bernilai RM500 yang akan mula beroperasi pada 7 Januari 2022 ini turut diberikan agi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana tersebut.

Bagaimanapun, pembelian ini boleh dibuat menerusi platform e-dagang yang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Diskaun 50% dan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan

Faham dan sedar bahawa bencana banjir baru-baru ini turut melibatkan pelbagai kerosakan termasuklah kenderaan yang diguna pakai untuk mencari rezeki. Oleh itu, bagi pemilik kereta PERODUA dan PROTON yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50% ke atas alat ganti.

Manakala, syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25% ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

Ini termasuklah, pemberian baucar tunai berjumlah RM1,000 dan diskaun yang akan diberikan bermula Januari 2022.

Bantuan tunai RM5,000 dan kos baik pulih rumah sehingga RM56,000

Tambahnya lagi, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

Bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

Malah, bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bantuan yang disediakan kerajaan, boleh tonton video di bawah;

 

Salma Syahbuddin