Buli Junior Sehingga Bengkak Rusuk, 5 Pelajar Lelaki Ditahan

Polis telah menahan lima remaja lelaki berumur 16 tahun di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan daerah Johor Bahru kerana mereka dipercayai terlibat dalam kes buli seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Daerah Muar yang berlaku Khamis lalu.

Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Muar ACP Zaharudin Rasip berkata pihaknya pada Selasa menerima laporan polis tentang kejadian seorang pelajar 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Daerah Muar telah dibuli pelajar-pelajar senior di sekolahnya.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya menyebabkan mereka dibuli,” kata Zaharudin di dalam satu kenyataan pada Rabu.

Disebabkan kejadian itu mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian rusuk kiri dan telah mendapatkan rawatan di hospital.

Kelima-lima remaja terbabit akan direman di mahkamah, di Muar esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dimana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis memandang serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” kata Zaharudian.

Sumber: BERNAMA

Arfah