Dua Kes Cabul Dilaporkan Berlaku Di Tamarind Square, Babitkan Penghantar Makanan Berusia 20 Tahun

Sejak beberapa hari lalu tular di laman Twitter apabila dua kejadian babitkan kes cabul dilaporkan berlaku di sebuah pusat membeli belah, Tamarind Square yang terletak di Cyberjaya.

Perkara itu dikongsi oleh seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @nrsyfreyna menerusi ciapannya bertarikh 5 April 2022.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku ke atas rakannya apabila suspek dikatakan bertindak meraba mangsa.

 

Malah, selang 15 minit kemudian suspek turut melakukan perkara sama terhadap seorang lagi mangsa selepas berpura-pura mahu memberikan bantuan dengan mengambil troli yang dibawa wanita terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan, kejadian yang berlaku pada jam 2 petang itu membabitkan wanita berusia 27 tahun dan lokasi kejadian adalah di kawasan parkir tingkat dua bangunan tersebut.

Manakala, kes kedua pula berselang selepas 15 minit membabitkan wanita berusia 34 tahun dan kes cabul tersebut berlaku berhampiran lif parkir.

“Suspek memberitahu apabila di tingkat satu, mangsa terus ke tempat letak kereta untuk menyimpan barang di dalam kenderaannya.
“Dan secara tiba-tiba seorang lelaki menghampiri wanita berkenaan dan mahu membantu dengan mengambil troli yang dibawa mangsa.
“Mangsa menolak permintaan itu dan suspek tetap mengambil barangan mangsa dan membantu memasukkannya ke dalam kenderaan dan mencabul mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.

Difahamkan, suspek bermata juling, berkulit gelap, berpakaian hitam berjenama Adidas, menyandang beg silang dan memakai pelitup muka.

Bagaimanapun, memetik laporan Harian Metro, suspek yang berusia 20-an itu akhirnya berjaya ditangkap di Taman Putra Perdana, Puchong dan turut merampas barang kes yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Untuk makluman, kes ini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Salma Syahbuddin