Gara-Gara Teruja, Syamel Umum Jantina Anak Sulung… Bakal Timang Baby Girl!

Penyanyi Syamel secara tidak sengaja mendedahkan jantina anak sulungnya yang dijangka lahir pada Mac 2022 kerana terlalu teruja untuk membuat persembahan di atas pentas.

Syamel atau nama sebenarnya Syamel Aqmal Mohd Fodzly, 28, mengumumkan dia dan isteri, Ernie Zakri, 29, bakal dikurniakan seorang anak perempuan di Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya (IB) yang berlangsung Sabtu lalu.

“Memang niat kami untuk berkongsi jantina anak, namun, bukan dalam masa terdekat. Situasi itu berlaku mungkin disebabkan rasa teruja seorang penyanyi selepas dua tahun tidak beraksi di hadapan peminat.

“Sebaik sahaja di atas pentas, saya teruja apabila mendapat aura yang cukup hebat daripada penonton. Apabila keterujaan melanda, tiba-tiba saya mendedahkan jantina anak.

“Saya harap ia tidak merosakkan perancangan isteri yang mungkin ingin mengadakan majlis mengumumkan jantina anak,” katanya.

Bagaimanapun, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri mengakui terkejut dengan tindakan spontan suaminya.

Namun begitu, Ernie tidak menyalahkan Syamel, sebaliknya memahami keterujaan yang dirasai oleh suaminya.

“Setakat ini, tiada dalam perancangan kami untuk mengadakan majlis pengumuman jantina anak. Sejujurnya, saya tidak terkilan hanya kerana Syamel umumkan jantina anak lebih awal.

“Saya faham perasaannya yang sangat teruja untuk membuat persembahan. Saya juga berkongsi perasaan yang sama dengannya,” kata Ernie.

Pada September lalu, pasangan yang popular dengan lagu Aku Cinta ini berkongsi berita gembira mereka bakal menimang cahaya mata melalui hantaran di Instagram.

Untuk info, Syamel dan Ernie telah diijabkabulkan pada Mac lalu pada satu majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Sumber: BH

Marcella