Ibadah Umrah Dibenarkan Bermula 8 Februari Ini

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan kabinet hari ini sebulat suara membuat keputusan agar umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Keputusan itu dibuat kerana kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

“Baru tadi kami buat keputusan sepertimana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh kabinet.

“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari tanah suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

 

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin