“Ini Impian Arwah Masa Hidup”- Ibu Tiri Teruskan Legasi Perniagaan Siti Sarah

Kerinduan kepada mereka yang telah tiada pastinya tidak pernah akan dapat ditanggung.

Kehilangan penyanyi Siti Sarah Raissuddin meninggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang pernah mengenali allahyarham.

Walaupun sudah dua bulan pemergiannya, peninggalan legasi perniagaan Sarah masih tetap diteruskan

Terbaru, ibu tiri kepada Sarah, Siti Fatimah Suberi, 34, kini menggalas tanggungjawab menguruskan perniagaan tudung dan kosmetik milik penyanyi itu.

Siti Fatimah atau mesra disapa Makde berkata, dia perlu kuat untuk membangunkan perniagaan yang diusahakan bersama Allahyarham sebelum ini.

“Walaupun arwah sudah tiada, tapi dia buat saya jadi kuat dan tak boleh duduk diam. Saya perlu jaga perniagaan yang arwah bangunkan selama ini.

“Saya tak boleh biarkan kakitangan kesayangannya terabai. Insya-Allah saya mampu dan boleh hadapi semua ini. Saya nak perniagaan itu terbang tinggi sebab itu impian arwah semasa dia hidup.

“Setiap hari ada saja benda dia nak buat untuk perbaiki kalau tak berpuas hati dengan kualiti produk.

“Buat semua doakan saya dapat mengalas tanggungjawab menjaga perniagaan ini dengan baik,” tulisnya.

Siti Fatimah berkongsi mengenai perkara terbabit di hantaran terbaru yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Siti Fatimah yang kini mengendalikan tudung jenama Loveta dan Ratasya Cosmetics sempat berkongsi kerinduan terhadap arwah.

“Cepat betul masa berjalan. Kalau kira-kira sudah dua bulan Sarah pergi tinggalkan kita semua. Rindu usah cakaplah.

“Rasanya setiap hari masuk pejabat mesti tenung gambar Sarah,” katanya.

Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat Covid-19 pada 9 Ogos lalu.

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”