“Masih Mampu Tersenyum” – Lelaki Temui Semula Keretanya Hancur Musnah Selepas Dihanyut Banjir

Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok telah berkongsi keadaan keretanya yang hancur berkecai akibat dipercayai dihanyutkan banjir yang berlaku di Bentong, Pahang.

Video yang dimuat naik oleh @aimanxkesah92 itu menunjukkan sebuah kereta jenis Proton Inspira yang sudah tidak berupa kereta lagi kerana ia hancur disaluti tanah dan ranting pokok.

Namun begitu, logo dan nombor pendaftaran yang tercabut dari kereta terbabit masih dalam keadaan sempurna.

Menurut pemilik video itu, keretanya dihanyutkan lebih kurang dua kilometer dari kawasannya.

Walaupun keretanya sudah tidak boleh digunakan lagi, lelaki itu kelihatan tabah dan bersabar dengan ujian yang dihadapi.

“Harta dunia. Dia sayang kita dia uji kita. Semoga dipermudahkan segala urusan,” balasnya terhadap komen seorang pengguna.

Rata-rata komen yang ditinggalkan netizen amat kagum dengan ketabahan yang ditonjolkan dan menitipkan doa buatnya di ruangan komen.

Setakat hari ini, video tersebut telah mendapat sebanyak 694,500 tontonan dan 43,500 tanda suka di TikTok.

Arfah