Tarikh Pendaftaran Baharu & Kemas Kini BKM Dibuka Bermula Hari Ini Sehingga…

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka bermula hari ini sehingga 31 Januari 2022.

Ia bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing dan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat pengemaskinian.

“BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, data penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang TIDAK lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.

Justeru itu, pemohon BKM boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik dalam portal rasmi BKM bkm.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 

 

Sumber: Bernama

Salma Syahbuddin