Tiada Kenaikan & Potongan Gaji Punca Rakyat Malaysia Tukar Kerja

Seramai 72 peratus pekerja muda di Malaysia mempertimbangkan untuk bekerja di luar negara bagi mendapatkan prospek kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Employment Hero Ben Thompson, fasa pandemik merupakan sebab utama  kenapa generasi muda ini mahu mengubah hala tuju dalam kerjaya mereka disamping meneroka ke luar negara seiring dengan dunia yang semakin terbuka.

“Petunjuk terbesar bahawa sesuatu perlu diubah ialah apabila 24 peratus warga Malaysia menyatakan bahawa mereka ‘gemar’ pekerjaan sekarang dan 45 peratus menyatakan mereka ‘menyukainya’, tetapi kebanyakannya merancang untuk meninggalkannya.

“Ini adalah masalah bagi majikan tempatan dan seharusnya mendorong ramai majikan untuk menilai semula dasar, budaya kerja serta strategi pengekalan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, sebanyak 61 peratus pekerja merancang untuk mencari peranan atau pekerjaan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang disebabkan faktor utamanya iaitu, kekurangan pembangunan kerjaya, kekurangan penghargaan atau pengiktirafan, kekurangan peluang latihan dan ketiadaan kenaikan gaji.

“Ini mungkin tidak mengejutkan, memandangkan lebih ramai pekerja Malaysia (53 peratus) mengalami pemotongan gaji yang ketara semasa pandemik berbanding dengan negara jiran, Singapura (32 peratus),” katanya.

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin