“Tiada Manusia Paling Banyak Berkorban Melebihi Rasulullah” – Ebit Lew Kongsi Detik Ke Masjid Nabawi, Ramai Sebak & Mohon Kirim Doa

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew (UEL) menerusi hantaran terkini di laman Instagram miliknya dilihat sempat berkongsi detik-detik perjalanan beliau menuju ke Masjid Nabawi di Madinah.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di Madinah beliau terus sahaja diberi kesempatan untuk berkunjung ke masjid tersebut.

“Ya Allah betapa rindunya. Syukur pada Allah sebaik sampai Madinah terus dapat menziarahi Baginda Nabi Sallallahu alaihi wasallam. 

“Tiada manusia paling banyak berkorban berjuang demi kebaikan kita melebihi Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasallam. Tiada manusia dicintai Allah melebihiNya. Ya Allah satu hari nanti temukanlah kami dan keluarga kami dengan Baginda Nabi Muhammad Sallalahu alaihi wasallam dan Keluarga Baginda,” katanya.

Selain itu,  UEL juga turut mendoakan agar seluruh sahabat serta umat Islam diberikan peluang untuk menziarahi dan menyambung dakwah Rasullullah SAW.

“Ya Allah sampaikanlah seluruh keluarga kami dan kawan-kawan kami semuanya untuk menziarahi Baginda Sallahu alailhi wasallam. Berilah kami sentiasa mencintainya, mengikutinya dan menyambung kerja dakwah Nabi Muhammad Sallalahu alaihi wasallam,” ujarnya.

Bagaimanapun, perkongsian UEL itu nampaknya mengundang sebak dalam kalangan warganet apabila merasakan bahawa bukan mudah dan bertuah untuk manusia yang beragama Islam diberi peluang menjejakkan kaki ke kota suci itu.

Justeru itu, ada segelintir followers beliau yang mengambil kesempatan mengirim doa menerusi ruangan komen instagram miliknya.

Salma Syahbuddin