“Tidak Ada Istilah Payung Emas Atau ‘Free Gift’, Ia Hadis Palsu” – Ini Jawapan Dr Zulkifli Bila Wanita Tolak Poligami

Istilah ‘payung emas’ pastinya begitu popular dalam kalangan masyarakat moden kita hari ini.

Apatah lagi, ayat itu seringkali digunakan oleh golongan lelaki atau suami yang mahu mendapat kebenaran untuk berkahwin lebih dari satu.

Bagaimanapun, bagi menjawab persoalan tersebut, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil mengulas mengenai kenyataan terbabit menerusi ciapannya di laman Twitter.

Menurutnya, istilah payung emas mahupun free gift itu tidak wujud dan sememangnya ia adalah hadis palsu.

“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadith palsu.

“Jika seorang wanita solat 5 waktu, puasa Ramadan, pelihara kemaluan dan ta’at kpd suaminya, Nabi kata masuklah ke syurga melalui pintu yang dikehendaki.

“Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah yg pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu. Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” katanya.

Tidak menjadi kesalahan bagi si Isteri mempertikaikan keputusan suami untuk berpoligami

Bahkan, Zulkifli menerusi perkongsiannya itu turut menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi seorang isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya sekiranya mahu berpoligami dengan melarang atas sebab keperluan.

Ia termasuklah menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu sehingga boleh mengabaikan hak yang lain.

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.

“Hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram. Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan,” jelasnya.

Zulkifli berkata demikian setelah diajukan soalan mengenai poligami dan pendapat bahawa sebilangan wanita moden kini lebih mengejar nikmat dunia berbanding konsep ‘payung emas’ tersebut.

 

Sumber: Twitter @drzul_albakri

Salma Syahbuddin