Zara Zya Sanggup Turun Padang Bantu 118 ‘Frontliners’

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, dilihat ramai individu prihatin yang tampil memberi bantuan buat ‘frontliners’ yang bekerja keras memerangi wabak ini.

Tidak terkecuali, pelakon cantik Zara Zya yang baru-baru ini turut sama turun padang membantu para pejuang kepada barisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Posting yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya itu menunjukkan beliau dan pasukannya meluangkan masa berjumpa dengan 118 frontliners di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (CREaTe) yang menjadi Stesen Pusat Kuarantin Covid-19.

“Hati Kecil Saya Sebak”

Menurut ikon misi prihatin Covid-19 itu, beliau sebak melihat perjuangan mereka sehingga ada yang tidak balik ke rumah hampir sebulan demi memerangi wabak ini.

“Sepanjang bersama Frontliners, hati kecil saya sebak dan terusik melihat perjuangan mereka yang terus berjuang tanpa henti untuk memerangi pendemik Covid-19.

Walaupun mereka sentiasa mengukir senyuman dan disambut dengan tawa hilai sepanjang 3 jam kami berceloteh serta berkongsi pengalaman mereka di Pusat Kuarantin, namun jauh di sudut hati masing-masing, mereka memendam perasaan rindu untuk bersama keluarga tercinta yang ditinggalkan hampir sebulan ini,” tulisnya di Instagram.

Untuk pengetahuan semua, Zara Prihatin merupakan projek di bawah naungan Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan dengan kerjasama ATM dan Briged Kesenian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Buat yang ingin memberikan bantuan kepada mereka, hantarkan sumbangan korang ke Pertubuhan Prihatin Tanpa Sempadan.

Sesungguhnya sumbangan anda memberi 1001 makna buat mereka yang berjuang.

Kredit: Instagram Zara Zya

Syafiqa Irdina