Acara By: Ad Ops October 30, 2018 @ 11:00am

Kehangatan Karnival Jom Heboh Di Angsana Johor Bahru Turut Dirasai Di Booth Hijab & Heels

Walaupun cuaca di Johor Bahru baru-baru ini tak menentu, warga kota tersebut tak melepaskan peluang untuk mengunjungi acara tahunan Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall.

Sama seperti edisinya yang lepas, acara keramaian anjuran Media Prima Berhad kali ini yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu menawarkan pelbagai jenis promosi dan aktiviti menarik bagi mereka yang hadir.

Dan seperti yang dijanjikan, portal gaya hidup di bawah Kumpulan New Straits Times juga, Hijab & Heels turut serta dalam menggembirakan pengunjung dengan pemberian barangan eksklusifnya dan perkongsian tip-tip tentang fesyen dan kecantikan.

Pada kedua-dua hari tersebut, insta-famous jelita Syifa Melvin telah mengendalikan tugas sebagai emcee. Pada masa yang sama, ramai peminatnya telah datang ke booth Hijab & Heels semata-mata untuk mengambil gambar kenangan. Popular betul!

Syifa juga telah berkongsi tip-tip kecantikan dan fesyen dengan pengunjung di mana dia mengadakan demo pemakaian hijab (Jumaat) dan makeup (Sabtu).

Seorang lagi insta-famous, Yuni Zolbahrem, juga turut hadir untuk mengajar pengunjung cara-cara untuk memadankan stail pemakaian tudung mengikut bentuk muka (Sabtu) serta makeup yang bersesuaian dengan warna kulit muka si pemakai (Jumaat).

Sementara itu, usahawan muda Azura Shafawi juga telah tampil untuk berkongsi tip pemilihan dan pemadanan pakaian (Jumaat) serta pemakaian hijab dan makeup (Sabtu) kepada tetamu booth Hijab & Heels.

Khas untuk acara Jom Heboh kali ini, dia telah menghadiahkan banyak unit tudung dan pakaian daripada jenamanya Ummiriaz International secara percuma.

Masih lagi dalam tema fesyen, ada juga segmen Hijab & Heels Styling, di mana salah seorang penulis Hijab & Heels, Yanie Baharom telah menunjukkan cara-cara untuk memadankan T-shirt eksklusif Hijab & Heels dengan item pakaian lain seperti crop pants, Harajuku skirt dan seluar palazzo.

Satu lagi highlight adalah lawatan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ke booth Hijab & Heels.

Syok!

Turut menghiburkan pengunjung booth ini adalah permainan yang diadakan, seperti Imbang Bulu Tangkis dan Siapa Cepat Dia Menang.

Untuk segmen Cabaran Samyang, beberapa pusingan telah diadakan dengan menggunakan ramen pedas yang biasa serta yang dua kali ganda pedas.

Wah, ada peserta yang makan macam ia seperti ramen biasa-biasa! Kita yang tak makan ini, tengok saja pun dah sakit perut.

Untuk game di atas, para peserta telah dihadiahkan dengan barangan eksklusif Hijab & Heels.

Selain itu, ada juga Pertandingan Makeup Couple dan Pertandingan Hijab Styling di mana para peserta mesti bekerja secara berpasangan untuk jadi juara.

Antara mereka adalah pasangan ibu dan anak lelaki, jadi kelakar juga bila tengok mereka beraksi.

Para pemenang telah membawa pulang produk-produk tajaan TudungPeople, Meriel Beauty & Health, Malvita, Oh Most Wanted dan SofeaRose.

Barangan eksklusif Hijab & Heels

Di booth ini juga, para pengunjung berpeluang untuk memenangi merchandise eksklusif Hijab & Heels seperti tuala muka, pensel warna dan mouse pad. Mereka hanya perlu Like dan Follow akaun media sosial Hijab & Heels dan putar “roda impian” yang disediakan.

Di satu lagi sudut di booth ini, orang ramai berkesempatan untuk beli sendiri merchandise Hijab & Heels yang lebih premium seperti T-shirt, topi dan botol air. Hijab & Heels memang tak jual barangannya di tempat lain, jadi orang ramai tak melepaskan peluang untuk membeli.

Secara keseluruhannya, Karnival Jom Heboh memang kecoh dan riuh dengan booth-booth yang ada, pelbagai promosi yang ditawarkan serta penampilan artis terkenal tanah air.

Terima kasih juga kepada semua yang telah bantu menjayakan acara-acara di booth Hijab & Heels ini!

Kredit foto: NSTP/Hairul Anuar Rahim

| Live TV

| ARTIKEL Xtra