Featured By: Yanie Baharom October 10, 2019 @ 10:00am

Figura Oktober 2019: Justifikasi hijrah Lisa Surihani

Pada saat jelitawan ini melangkah masuk ke kamar ekslusif Queen Elizabeth’s Suite di Hotel Palace of The Golden Horses sehinggalah tamat penggambaran yang menghampiri waktu senja, konsistensi tenaganya sama seperti saat dia baru tiba.

Ada sahaja perkara dibualkan Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ini, dari hal-hal yang serius, sekali-sekala disuntik selingan melucukan.

Begitulah Lisa Surihani Mohamed, 33, apabila merasakan dirinya berada dalam lingkungan comfort zone.

Sebagai individu dengan karakteristik ambivert (gabungan personaliti introvert dan extrovert), di mana salah satu cirinya bisa berubah bergantung kepada siapa lawan bicaranya, Lisa serta-merta boleh menjadi seorang yang sangat reserved dan kekok jika tidak berasa selesa dengan keadaan sekitarnya.

Mungkin kerana faktor perkenalan yang sudah bertahun lama, membuatkan ibu kepada dua cahaya mata comel ini tidak canggung.

Berpusar daripada topik menunaikan ibadah umrah, reaksi sang suami mengenai perhijrahan imejnya, eksplorasi lapangan pengacaraan serta pengalaman bertugas di bilik mayat, semuanya termaktub di dalam coretan penulis NORHADIANI BAHAROM menerusi Figura edisi Oktober.

Hijab & Heels (H&H): Ramai yang ingin tahu, bagaimana reaksi Yusry (suami) saat pertama kali melihat anda berhijab?

Lisa: Cara dia mendapat tahu adalah tanpa disengajakan kerana sewaktu saya memutuskan untuk memakai hijab, saya tidak memaklumkan kepada Yusry secara empat mata.

Bagaimana momen kali pertama suami melihat saya berhijab adalah melalui Facetime. Ketika itu, suami menelefon untuk bercakap dengan anak-anak. Memandangkan saya sedang memandu, jadi telefon saya dipegang oleh ibu saya.

Sehinggalah giliran Yusry ingin bertanyakan sesuatu kepada saya dan ibu menghalakan kamera ke arah saya.

Rasa gementar sebabnya saya tidak berkongsi hal ini dengan suami. Antara sebab mengapa saya tidak menjelaskan keputusan saya untuk berhijab kerana saya sebenarnya bimbang kalau termakan dengan kata-kata sendiri. Saya ingin pastikan saya melakukannya demi Allah Taala.

Jadi pada malam kejadian, Yusry bertanya; “sayang, I nampak masa Facetime tadi you pakai tudung. Adakah you akan mula pakai?”

Saya jawab ya, InsyaAllah kenapa? Suami tidak kata bagus sayang, Alhamdulillah atau apa, sebaliknya memberikan reaksi tersenyum.

Itu adalah antara cara komunikasi atau bahasa cinta kami. Cukup dengan ekspresi yang membawa banyak maksud.

Mungkin juga suami enggan memberikan sebarang komentar kerana dia ingin melihat adakah perubahan ini dilakukan kerana saya masih dalam ‘mood’ balik daripada Umrah, memandangkan ramai yang berkata sekembalinya dari Makkah, perubahan emosi seperti ini biasa berlaku.

Saya sendiri tidak mahu bercakap lebih-lebih, bimbang timbul riak dan rasa diri sudah angel.

Doa saya setiap hari, mudah-mudahan dijauhkan anasir yang boleh membolak-balikkan hati daripada mengikuti suruhanNya.

 

H&H: Cara anda belajar untuk istiqomah setiap hari?

Lisa: Terbitnya perasaan untuk berhijab berputik sejak beberapa tahun lalu dan saya sentiasa tertanya-tanya kenapa ada perasaan seperti ini ya?

Terus-terang, ketika itu saya berasa agak jauh dengan agama. Tiang agama (solat lima waktu) pun tidak begitu terjaga, kadang terbabas!

Jadi bagaimana untuk saya lebih memahaminya, saya bertemu dengan Ustazah dan menggunakan teknologi sosial media untuk tujuan yang bermanfaat. Saya menonton video popcast di Instagram yang mengkhusus kepada pengetahuan Islam.

Pada masa yang sama, saya mencari pengertian surah-surah yang terkandung di dalam al-Quran termasuk mengaitkannya dengan Sunnah Rasulullah SAW.

Saya seorang yang kuat bertanya sampaikan Ustazah yang mengajar saya, menggambarkan cara saya seperti Nabi Ibrahim AS. Kenapa saya sangat suka bertanya, supaya saya tidak membuta tuli mengikut, begitu juga dengan bab pemakaian hijab.

Islam bagi saya adalah agama yang progress. Al-Quran adalah kitab yang menjadi panduan umat manusia yang tidak ditelan zaman. Saya hendak cuba faham, adakah berhijab juga masih dijadikan suruhan dalam konteks 2019.

Saya perlu tahu untuk mendapatkan kepastian, malah sentiasa berdoa semoga Allah SWT memberikan saya petunjuk dan jawapan apakah ini yang benar-benar diinginkan Allah SWT terhadap golongan wanita.

Ketika tahajud saya dapat rasakan perasaan yang amat kuat itu. Sejujurnya ketika baru balik daripada mengerjakan umrah, ada pengalaman yang saya lalui dan membuatkan timbul perasaan yang tidak enak.

Ada yang bertanya, selepas ini ‘kerja’ macam mana sebab sudah bertudung, gaya tudung macam mana supaya tidak nampak seperti makcik-makcik, walhal patutkah kita kisah mengenai benda-benda ini semua.  Segala macam pertanyaan yang membuatkan saya sangsi dengan keputusan memakai hijab pada mulanya.

Tapi saya ingin lakukan ini kerana Allah SWT. Walaupun ketika itu bukan di dalam tertibnya – mengangkat dan menadah tangan, Allah SWT Maha Mendengar.

Perkara pertama yang saya nampak ketika membuka telefon, adalah ‘doa diteguhkan hati’ yang dikongsikan melalui akaun Mufti Wilayah Persekutuan. Wow! MasyaAllah, dalam kita sedang bersusah hati, pencerahan itu yang keluar.

Penemuan ini membawa saya kepada pengertian hijab yang lebih luas. Hijab bukan sekadar menutup aurat kepala sahaja, hijab juga ada pada pertuturan, pada mata dan pemikiran.

Jika satu hijab (kepala) ini sahaja yang dijaga manakala yang lainnya tidak, maka ia tidak membawa apa-apa makna.

 

H&H: Ceritakan serba sedikit pengalaman anda ketika menunaikan umrah?

Lisa: Ini adalah pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Kami ke Madinah dahulu, kemudian ke Makkah.

Pengalaman di Madinah sesuatu yang sukar dilupakan terutamanya ketika berada di Raudhah. Ikutkan jadual yang disusun pihak agensi pelancongan, kami sepatutnya pergi ke Raudhah pada pagi setibanya di Madinah tetapi masa kami sampai ia sudah ditutup untuk jemaah wanita. Sementara ia dibuka pada bila-bila masa untuk jemaah lelaki.

Saya tanyakan kepada Mutawif Ustazah, ada cara lain atau tidak untuk kita dapat memasuki Raudhah? Memandang, esok sudah terikat dengan ziarah yang lain, Mutawif kami mencadangkan kami menunaikan solat Isyak di situ supaya memudahkan kami untuk memasuki Raudhah apabila pintunya mula dibuka.

Sabar menunggu, sehingga jam 10 malam kami masih di kawasan karpet merah. Karpet merah itu bermakna, masih di kawasan luar Raudhah.

Sementera menunggu dan usai solat sunat serta membaca al-Quran akhirnya jam menghampiri 12 malam dan saya mula berasa mengantuk lalu terlelap.

Saya bermimpi bagaimana saya, ibu, emak saudara yang berkerusi roda dan Mutawif berhempas-pulas hendak masuk ke Raudhah. Saya ingat setiap kekecohan sehinggalah sampai ke tapak syurga itu. Saya pandang wajah ibu saya kerana rasa sangat bersyukur akhirnya berjaya juga sampai ke makam Rasulullah SAW.

Tiba-tiba saya terjaga dan maklumkan kepada ibu yang saya bermimpi dan situasi itu sangat nyata. Ibu cuma menjawab, kalau ada rezeki InsyaAllah.

Sejurus itu, pintu-pintu Raudhah dibuka, pengunjung wanita berlari macam Black Friday! Pendekkan cerita, setiap babak yang saya alami di dalam mimpi benar-benar terjadi.

Saya dan Mutawif membiarkan ibu dan emak saudara saya menyempurnakan sembahyang sunat, sunat hajat dan sunat taubat terlebih dahulu. Kemudian baru giliran saya.

Ketika saya bersolat, mungkin ibu dan emak saudara tidak cukup kuat menjadi penghadang, apatah lagi semua orang hendakkan tempat kami bersembahyang kerana katanya disitulah makam Rasulullah SAW.

Sempat kepala saya ditendang sewaktu sujud tahiyat akhir, ketika sedang melakukan sembahyang sunat yang terakhir iaitu taubat. Kejadian itu menyebabkan lari rukun sembahyang saya.

Lalu saya bangun dan ingin melakukan semula rakaat terakhir, tapi ibu berbisik kepada saya, buat semula sunat taubat daripada mula.

Selepas selesai solat, Mutawif kami pesan berdoalah apa sahaja yang diinginkan dan saya sengaja membacanya sepenuh hati dengan kuat bukan sahaja kerana keadaan sekeliling begitu bising tetapi juga supaya ibu dengan emak saudara saya boleh mendengarnya. Ibarat kami turut berdoa bersama-sama.

Percaya atau tidak, seumur hidup saya tidak pernah saya menangis sebegitu rupa. Paling sayu saat berdoa untuk arwah bapa saya.

Dulu, saya selalu berangan-angan hendak membawa kedua orang tua saya menunaikan umrah bersama. Tapi..tidak sempat kerana ayah saya sudah tiada. Mujur saya diberi peluang melakukan umrah bersama ibu.

Saat berdoa di Raudhah itu, ia memberikan satu kenangan dan impak yang cukup diingati buat saya.

Sementara di Makkah pula, saya mendapat jawapan terhadap persoalan saya mengenai berhijab, selain momen bersama anak sulung saya, Yahaira. Ketika itu kami baharu sampai dan baharu masuk waktu Subuh, jadi kami tidak sempat ikut jemaah yang lain dan hanya bersembahyang di bilik.

Apabila saya tunjukkan kepada Yahaira pemandangan Kaabah, dia jawab “wow sembahyang city!” Jawapan yang diberikan di luar jangkaan saya.

Pastinya lebih membahagiakan pemergian kali pertama ke umrah, saya dapat melakukan ibadah ini bersama-sama suami dan anak-anak serta ibu saya.

H&H: Bercakap soal tidak laku selepas berhijab, nampaknya hal itu tidak memberikan kesan kepada Lisa yang dilihat senantiasa sibuk. Komen sikit?

Lisa: Pembabitan saya di dalam program Tanya Dr Emelda berlaku sebelum saya berangkat menunaikan Umrah lagi. Cuma sewaktu balik, saya sudah berhijab.

Saya ada bertanya adakah penampilan saya ini tidak menepati kehendak program, kerana ketika itu kami sedang dalam perangkaan untuk merakamkan promo rancangan berkenaan.

Alhamdulillah, pihak produksi sangat terbuka dan menerima imej baharu saya tanpa ada pertikaian.

Sejujurnya, saya pernah berbincang dengan ibu saya mengenai hal ini dan perlu redha dengan ketentuan Allah SWT sekiranya tawaran suram kerana saya memilih untuk berhijab. Mungkin semua ini sudah tertulis.

Bagaimanapun Alhamdulillah, bukan sekadar orang dalam industri sahaja menerima baik perubahan saya bahkan peminat juga. Terima kasih!

H&H: Bukan satu tapi dua program pengacaraan yang dikendalikan Lisa, boleh ceritakan keunikan program Tanya Dr Emelda dan Girls Day In?

Lisa: Bercakap mengenai Tanya Dr Emelda, apa yang seronoknya mengenai program ini topiknya menjurus kepada ilmu kesihatan. Kita mendengar banyak mitos mengenai kesihatan, amalan turun-temurun yang informasinya boleh didapati di internet.

Adakah ia selamat atau membahayakan wanita khususnya. Menjadikan setiap episod lebih menarik, kita juga mendapatkan pandangan dari sudut pandang agama.

Contohnya, isu mengenai darah nifas. Wanita tahu tempoh darah nifas adalah sepanjang tempoh berpantang. Ini bermakna selama tempoh itu, wanita tidak dapat menunaikan solat.

Tetapi ada sesetengah penjelasan dalam Islam, wanita boleh menunaikan solat sekiranya darah nifas sudah kering dan meyakini diri mereka bersih, jadi tidak perlu menunggu selesai pantang atau dua bulan untuk kembali menunaikan solat.

Berkenaan program Girls Day In terbitan Astro Naura pula, yang dikendalikan bersama sahabat baik saya, Daphne Iking, sifatnya adalah keagamaan tetapi gaya penyampaiannya lebih santai.

Program ini menyentuh hak-hak wanita di dalam Islam. Bagaimana wanita dalam konteks perspektif Islam dan bagaimana Islam meraikan golongan ini. Ramai orang barangkali tidak tahu, sebenarnya Islam sangat menggalakkan wanita bekerja.

Saya suka akan program ini kerana disebalik kita berbincang, ada huraian-huraian dalam al-Quran berkenaan topik yang disebutkan.

Justeru, wanita akan lebih memahami mengenai hak mereka dan apa solusinya jika mereka berhadapan dengan masalah seperti penindasan dan sebagainya.

H&H: Memilih untuk kembali ke dunia pengacaraan yang sudah lama ditinggalkan?

Lisa: Saya memang suka bercakap dan pengacaraan memberikan saya ruang untuk memperbaiki kelemahan dalam bahasa Melayu khususnya, sebutan dan pelbagai perkara lagi. Malah pengacaraan bukan satu kerja yang mudah.

Walaupun ada sesetengahnya berkata, nak memperbaiki apa lagi sedangkan saya sudah biasa mengacara, sekalipun sudah biasa itu tidak bermakna saya berhenti belajar.

Melalui bidang pengacaraan, saya dapat menimba ilmu baharu dan berkongsi dengan umum, yang mana ini juga saya lihat sebagai satu ibadah dalam pekerjaan.

H&H: Ramai yang tahu anda seorang yang selektif, bagaimana dengan pemilihan watak selepas berhijab?

Lisa: Dari dahulu lagi saya memang selektif, apalagi dengan imej sekarang. Setiap kali saya ingin mengambil sesuatu tawaran, saya akan mempertimbangkan buruk dan baiknya.

Adakah watak itu bagus, bermanfaat dan memberi impak untuk karier lakonan saya?

Dengan imej sekarang ini, rasanya produser drama atau filem tahu jenis watak yang sesuai ditawarkan kepada saya.

Terbaharu, saya ditawarkan membintangi sebuah drama bersiri berjudul Cantik. Saya memegang watak sebagai petugas bilik mayat.

Bayangkan saya sebenarnya seorang yang penakut! Kesian suami saya, sebabnya sudah tujuh tahun berkahwin, dia tidak dapat menonton filem seram disebabkan isterinya penakut.

Bila hendak tengok wayang atau menonton filem di rumah, saya selalu menolak “you pergilah seorang, i’m okay!” Tapi biasalah suami mesti hendakkan isteri teman dan saya pula alahan dengan cerita seram. Kisah psiko mungkin saya masih boleh, tetapi tidak cerita seram.

Saya lebih kepada genre animasi, kartun dan cinta. Bagaimanapun untuk drama ini saya masih boleh pertimbangkan.

Untuk menjiwai watak sebagai petugas bilik mayat, saya meminta pihak produksi untuk dapatkan kebenaran daripada pihak hospital supaya saya boleh melihat sendiri proses bedah siasat, keadaan bilik mayat dan bagaimana Prosedur Operasi Standard (SOP) mereka yang bertugas di unit berkenaan. Bayangkan dalam penakut-penakut saya, kena pegang mayat!

H&H: Soalan terakhir buat anda. Pendapat anda mengenai Influencer dan KOL (Key Opinion Leaders), yang kini lebih menjadi pilihan penganjur atau jenama besar selain menerima bayaran lumayan berbanding selebriti?

Lisa: Bercakap mengenai topik ini, ia berbalik pada soal rezeki. Kena lihat juga sasaran penganjur atau sesebuah jenama, mereka mencari influencer media sosial atau KOL dengan jumlah pengikut yang ramai atau engagement yang tinggi. 

Adakah engagement yang dipamerkan boleh menjadi ukuran yang tepat untuk mereka meningkatkan kadar jualan produk mereka?.

Jika influencer media sosial atau KOL yang dipilih itu bertepatan dengan jenama dan sasaran pengguna, tiada masalah bagi saya. Itu adalah pilihan mereka.

Penaja Lokasi:

PALACE OF THE GOLDEN HORSES.

Alamat: Jalan Kuda Emas, Mines Wellness City, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Instagram: @palaceofthegoldenhorses.mines

Penaja Busana:

Gaun Emerald Green: FIZI WOO

Instagram: @fiziwoo

Gaun Olive Green: ZAIMI ZULKAFLI

Instagram: @zaimizulkafli

Gaun Putih: Salleh Hamid

Instagram: @sallehhamid

Penaja aksesori

LES GEORGETTES

Instagram: @lesgeorgettes_byaltesse

Penaja skaf

TUDUNG PEOPLE

Instagram: @tudungpeople

Solekan

BEE RAMZA

Instagram: @ramzamode

Hijab Stylist

BEE RAMZA & AIZA ADRIENA

Instagram: @ramzamode & @aizaadriena

Jurugambar

NIZARHAFIZ MUSTAFA

Instagram: @nizarhafizmustafa

VIDEOGRAFI

MUHAMMAD MUCTAAR & MULTIMEDIA NSTP

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Thu, 22 Feb 2024
Featured Tue, 7 Jun 2022
Featured Tue, 7 Aug 2018
Featured Sat, 12 Aug 2023
familuv Tue, 20 Nov 2018

5 Kelebihan Bermain Bersama Anak Yang Anda Tak Tahu Selama Ini!

Hargai anak anda kerana mereka tak akan kecil selama-lamanya!

Featured Tue, 3 Jan 2023

[VIDEO] “Siapa Suruh Tengok Bola.. Fokus Dekat Keeper Pula Tu” – Eyra Hazali ‘Throwback’ Gambar Kahwin Dengan Suami

Comel je family ni! Siapa sangka semuanya bermula daripada post dkt IG story je hihi

Featured Wed, 24 Aug 2022

[VIDEO] Neelofa Kongsi Pesanan Tentang Persiapan Diri Sebelum Berkahwin – “Dalami Ilmu Rumah Tangga & Ikut Saranan Agama, Maka Percayalah….”

Deepnyaaaa 🥲🥲 Keberkatan dalam perkahwinan tak semua dapat kan 😣 Buat yang bakal berkahwin, boleh la bersiap sedia dan dengar pesanan Lofa ni ☺️☺️

Featured Tue, 20 Dec 2022

Comel! Pujukan Anak Izara Aishah Curi Tumpuan – “Mama Please, Please Mama!”

Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian yang menunjukkan pelakon Izara Aishah sedang merakam gelagat anak sulung, Irisa Alaia yang sedang merayu. Menerusi hantaran tersebut, Irisa sedang memujuk Izara menggunakan suara yang comel. “Mama please, please. I […]