Acara By: Fadzlena Jafar November 22, 2019 @ 6:50pm

Taman Tema Air Mudah Alih Angry Birds pertama di dunia kini dibuka

Penggemar permainan Angry Birds kini boleh berkunjung ke Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds (Angry Birds Splash Water World), pertama seumpamanya di dunia yang dibuka di Semenyih, Selangor.

Taman tema unik yang berkonsepkan mudah alih itu hasil kerjasama Rovio Entertainment Corp dan One Universal production Sdn Bhd (OUP) Malaysia bersempena dengan ulang tahun ke-10 Angry Birds, burung merah yang terkenal menerusi permainan video.

Pengarah Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia, berkata pembukaan taman tema mudah alih Angry Birds itu diharap dapat merancakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

“Penganjuran taman tema unik ini bertepatan dengan matlamat penganjuran TMM 2020 memandangkan ia mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record dan diharap dapat membantu mencapai sasaran 30 juta pelancong ke Malaysia tahun depan.

“Pada masa sama, saya ingin mencadangkan supaya taman tema ini ditempatkan di satu lokasi yang tetap bagi memudahkan promosi untuk menarik pelancong,” katanya ketika sidang media sejurus majlis pelancaran taman tema berkenaan di Semenyih, baru-baru ini.

Dari kiri Muhammad Hanafi, Set Yuen, Ruhainies, Mohd Akbal dan Alvin ketika majlis pelancaran Taman tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds di Semenyih. Gambar NSTP/Jim.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif OUP, Alvin Lee; Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Muhammad Hanafi Jalalludin dan Setiausaha Kehormat Persatuan Hiburan Taman Tema;  Tarikan Keluarga Malaysia (MAATFA), Magendaran Marimuthu dan Ketua Bahagian Teknikal SP Setia Berhad. Beberapa selebriti tempatan turut hadir pada majlis pelancaran itu, antaranya Ning Baizura dan Ruhainies Farehah.

Pembukaan Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds itu memberi peluang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga sambil merakamkan gambar kenangan dengan replika watak-watak dalam Angry Birds dalam bentuk inflasi.

Antara permainan menarik yang ditawarkan adalah gelongsor berdasarkan watak dalam Angry Birds iaitu Red, Chuck, Bom, Terence, Mighty Eagle dan Hatchlings yang bakal menemui pengunjung taman tema berkenaan.

Pelbagai permainan air yang diserikan dengan watak-watak dalam Angry Birds menanti pengunjung. Gambar NSTP/Jim.

Sejak kemunculannya, Angry Birds bukan saja dikenali sebagai permainan video, tetapi turut melebarkan sayapnya dengan mengeluarkan pelbagai barangan dari permainan kanak-kanak hinggalah barangan kegunaan seperti baju, botol air, pinggan dan bekas makanan.

Angry Birds juga dialih dalam bentuk filem yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan kanak-kanak dan filem kedua Angry Birds baru ditayangkan tahun ini di seluruh dunia.

Sementara itu, Alvin berkata, taman tema berkonsepkan inflasi yang mudah alih bukan perkara baharu kerana di Barat sudah lama memperkenalkan taman tema yang boleh dialih dari satu lokasi ke satu lokasi.

“Konsep ini bukan baharu, tetapi taman tema inflasi yang mudah alih menggunakan watak dalam Angry Birds adalah pertama seumpamanya di dunia. Kami gembira dapat membantu kempen TMM 2020 dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati pengalaman ini.

“Kami akan membawakan taman tema ini ke beberapa lokasi, iaitu dua kali di wilayah tengah, sekali di wilayah utara dan satu lagi lokasi di selatan,” katanya.

Antara permainan yang pasti membuatkan pengunjung teruja.

Taman Tema Air Inflasi Mudah Alih Angry Birds dibuka di Setia Ecohill, Semenyih, iaitu kira-kira 50 minit perjalanan menaiki kereta dari bandar raya Kuala Lumpur bermula 22 November 2019 hingga 5 Januari 2020.

Tiket masuk berharga RM50 untuk dewasa dan RM38 untuk kanak-kanak serta warga emas. Bagi memastikan keselesaan pengunjung, penganjur akan menetapkan hanya 2,000 tiket dikeluarkan daalm sehari dan orang ramai digalakkan untuk membeli tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/event/15379.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Wed, 16 Oct 2019

Ayam Brand perkenal santan Super Light, 75 peratus kurang lemak!

Kerja memasak jadi lebih mudah dan sihat!

Eat Travel Tue, 9 Oct 2018

7 Aplikasi Mudah Alih Yang Berguna Untuk Pelancong Muslimah Solo

Bila berseorangan, kena hati-hati jadi aplikasi ini pasti akan memudahkan kerja.

Eat Travel Sat, 30 Jun 2018

Kek Marble Ini Memang Gebu, Sekali Makan Memang Nak Lagi!

Jom manfaatkan hujung minggu dengan membuat Kek Marble ini. Gerenti sedap!

Eat Travel Thu, 14 Jun 2018

Sebelum Bertempur Di Dapur, Jom Jenguk-Jenguk Resepi Tradisi Rendang Tok

Tanpa hidangan yang satu ini iaitu rendang, perayaan Aidilfitri anda pastinya hambar.

Eat Travel Tue, 15 Jan 2019

Machu Picchu kini menggunakan sistem tiket baharu yang ketat untuk mengelakkan kesesakan

Perubahan adalah perlu untuk memelihara tapak warisan dunia ini.

Acara Wed, 15 Nov 2023

Anjur Kempen Projek Mimpi, Sirap Limau Tawarkan Wang Tunai Bernilai RM5,000 Untuk Realisasi Impian!

Setiap orang ada impian masing-masing kan? Sirap Limau ada anjurkan kempen Projek Mimpi untuk realisasi cita-cita korang tu, cepat jangan lepaskan peluang ni guys!

Eat Travel Sun, 10 Mar 2019
Eat Travel Tue, 7 Apr 2020