Euforia Bola 2026
Featured By: Aqilah Paharuzi July 1, 2026 @ 12:07pm

Dari Taipei Ke ‘Be Like Water’, Ini Perjalanan 22 Tahun Siti Nurhaliza Menakluk Muzik Mandarin

Bukan semua impian seorang penghibur dapat direalisasikan dalam tempoh yang singkat. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun, malah berpuluh tahun sebelum akhirnya menjadi kenyataan.

Begitulah perjalanan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang akhirnya melengkapkan satu lagi pencapaian dalam karier seninya apabila tampil dengan lagu penuh berbahasa Mandarin berjudul Be Like Water, hasil kolaborasi bersama penyanyi dan komposer Malaysia yang sedang mencipta nama dalam industri Mandopop, Firdhaus.

Lebih istimewa, karya itu menjadi lagu penuh pertama dalam bahasa Mandarin yang pernah dirakamkan Siti sepanjang lebih 30 tahun bergelar anak seni.

Benih kecintaan terhadap muzik Mandarin

Kemunculan Be Like Water sebenarnya bukanlah titik permulaan hubungan Siti dengan muzik Mandarin. Sebaliknya, ia adalah kesinambungan kepada perjalanan yang sudah bermula lebih dua dekad lalu.

Mengimbau kembali tahun 2004, Siti menerima undangan membuat persembahan di Anugerah Golden Melody Ke-15 di Taipei, Taiwan, acara anugerah muzik paling berprestij bagi industri muzik berbahasa Mandarin.

Pada malam itu, beliau mempersembahkan lagu “Zheng Fu” Conquer (征服) nyanyian asal Na Ying sebelum bergandingan dengan penyanyi terkenal Taiwan, Leehom Wang, menerusi lagu klasik The Moon Represents My Heart (月亮代表我的心) yang pernah dipopularkan mendiang Teresa Teng.

Walaupun bahasa Mandarin bukan bahasa pertuturannya, persembahan itu mendapat sambutan positif dan membuka mata ramai terhadap kemampuan vokal Siti menguasai karya dalam bahasa asing.

Bukan sekali dua menyanyi dalam bahasa Mandarin

Selepas persembahan bersejarah itu, Siti terus menunjukkan minat terhadap muzik Mandarin apabila beberapa kali mendendangkan lagu-lagu berbahasa berkenaan dalam konsert solo, persembahan korporat dan acara khas.

Malah, video persembahannya menyanyikan lagu-lagu Mandarin turut dikongsi peminat di media sosial dan sering menerima pujian kerana sebutan yang jelas serta penghayatan yang cukup baik.

Namun begitu, semua persembahan itu hanya dipentaskan secara langsung. Siti tidak pernah menghasilkan sebuah rakaman studio sepenuhnya dalam bahasa Mandarin.

Penantian 22 tahun akhirnya berakhir

Selepas lebih dua dekad, impian itu akhirnya menjadi kenyataan menerusi Be Like Water.

Kolaborasi itu menemukan dua figura daripada latar muzik berbeza. Jika Siti sudah lama diiktiraf sebagai ikon muzik Nusantara, Firdhaus pula semakin mencipta nama dalam industri Mandopop dengan beberapa karya yang berjaya menembusi pasaran China, Taiwan dan Hong Kong.

Gabungan mereka bukan sahaja menyatukan dua generasi, malah membuka ruang kepada pertembungan dua pasaran muzik yang berbeza.

@xtra_my

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan lagu berbahasa Mandarin secara duet bersama penyanyi, Firdhaus berjudul ‘Be Like Water’ #ctdk #xtramy #xtratonton #sitinurhaliza #cuckoo

♬ original sound – XTRA – XTRA

Inspirasi daripada falsafah Bruce Lee

Di sebalik judul Be Like Water, tersimpan makna yang cukup mendalam.

Lagu itu diinspirasikan daripada falsafah legenda seni mempertahankan diri dunia, Bruce Lee, menerusi ungkapan ikonik “Be water, my friend.”

Falsafah itu membawa maksud seseorang perlu mempunyai sifat seperti air yang sentiasa tenang, fleksibel dan mampu menyesuaikan diri dalam apa juga keadaan.

Menariknya, falsafah itu juga dilihat cukup dekat dengan perjalanan seni Siti sendiri yang tidak pernah berhenti belajar dan sentiasa berani meneroka sesuatu yang baharu walaupun sudah berada di kemuncak industri.

Melengkapkan satu lagi sejarah dalam karier

Daripada pentas Golden Melody Awards di Taipei pada 2004 sehingga lahirnya Be Like Water pada 2026, perjalanan Siti dalam muzik Mandarin akhirnya lengkap.

Ia bukan sekadar menambah sebuah lagu dalam diskografi Biduanita Negara itu, tetapi menjadi simbol kepada keberanian seorang penghibur untuk terus berkembang, merentasi sempadan bahasa dan budaya.

Selepas lebih tiga dekad mencipta pelbagai sejarah dalam industri muzik tanah air, Be Like Water membuktikan masih ada impian yang mampu direalisasikan, walaupun mengambil masa 22 tahun untuk menjadi kenyataan.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Hiburan Tue, 18 Jul 2023
Featured Tue, 10 Feb 2026

Dua Sisi, Satu Pentas! Ambivert Tour Raisa Janji Malam Penuh Emosi Di Zepp KL

Bintang pop tersohor Indonesia, Raisa, bakal kembali mengubati kerinduan peminat di Malaysia menerusi konsert jelajah terbaharunya, Raisa Ambivert Tour.

Featured Thu, 27 Feb 2025

Tampil Elemen Retro, ‘Nostalgia’ Tonjol Vokal Luar Biasa Ernie Zakri

Ernie menyifatkan rakaman lagu Nostalgia sangat menyeronokkan.

Eat Travel Wed, 18 Dec 2019

Resipi Nasi Komok yang sangat sedap dan mudah

Enak dimakan seisi keluarga

Hiburan Sat, 3 Nov 2018
Hiburan Thu, 19 Apr 2018

Hantaran Unik Dynas Buat Bakal Suami

Saya anggap ini hantaran paling istimewa. Daripada saya belikan barang lain, lebih baik saya hadiahkan sesuatu yang bermanfaat dan boleh dikenang sampai bila-bila…auw, sweet habis la awak ni Dynas!

Featured Sun, 24 Apr 2022
error: Content is protected !!