Categories: Acara

LR Hijab, hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran Linda Rafar

Impian pelakon dan penyanyi Linda Rafar untuk memiliki jenama tudung sendiri akhirnya menjadi kenyataan dengan pelancaran koleksi tudung, LR Hijab.

Lebih istimewa dan bermakna, ‘bayi sulung’ tersebut lahir pada sambutan ulang tahun kelahiran ke-42 Linda yang jatuh pada tanggal 11 Februari.

“Hari ini adalah hari yang sangat istimewa buat Linda iaitu Linda melancarkan LR Hijab. Lebih 30 tahun Linda berada di dalam industri seni dan akhirnya impian untuk mencipta jenama tudung sendiri menjadi kenyataan.

Linda Rafar (tengah) diapit model-model yang menggayakan koleksi LR Hijab di majlis pelancaran tudungnya di Hotel Marriot Putrajaya pada Selasa. Kredit gambar: Instagram LR Hijab

“Alhamdulillah ia adalah satu pencapaian yang tinggi untuk saya,” tutur Linda penuh kesyukuran sewaktu ditemui pada majlis pelancaran LR Hijab di Hotel Marriot Putrajaya, baru-baru ini.

LR Hijab merupakan koleksi tudung hasil rekaan Linda yang terlibat secara langsung dalam setiap proses pengeluaran tudung jenamanya. Biarpun baru sahaja dilancarkan secara rasmi, namun lebih 1,000 helai tudung LR Hijab telah pun terjual sejak mula dipasarkan pada 1 Januari 2020.

“Sebagai permulaan, kami mengeluarkan sebanyak 2,000 helai tudung dahulu dan Alhamdulillah, 1,000 helai sudahpun terjual.

“LR Hijab mempunyai tiga rekaan iaitu semi instant heavy chiffon, bawal serta shawl pleated. Koleksi ini didatangkan dengan 30 pilihan warna di mana setiap rekaan mempunyai 10 pilihan warna,” kongsi isteri pelakon Syed Aiman itu kepada Hijab & Heels.

Meminati bidang perniagaan, pemilik nama Azlinda Rafar itu turut memberitahu idea untuk menghasilkan jenama tudung sendiri tercetus sejak dia mula berhijab lagi. Biarpun pernah disabotaj dalam perniagaan, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk melebarkan sayap dalam bidang perniagaan tudung.

“Saya menyimpan hasrat untuk mempunyai koleksi tudung jenama sendiri ketika saya mula mengenakan hijab. Ketika itu, saya sering menerima permintaan untuk mempromosikan tudung orang lain sebelum diangkat menjadi duta bagi satu jenama tudung.

“Selain itu, minat dan pendedahan mengenai selok-belok perniagaan tudung, terutamanya daripada sudut pengeluaran dan rekaan tudung turut mendorong Linda untuk merealisasikan impian serta tekad menceburkan diri dalam perniagaan tudung bersama-sama suami,” tuturnya lagi.

“Tidak dinafikan sebelum ini Linda pernah mengeluarkan produk lain, namun perniagaan Linda telah disabotaj. Perkara itu memberi kesan serta menjejaskan perniagaan Linda sehingga menutup pintu rezeki Linda. Bagaimanapun, Linda tidak pernah putus asa dan sentiasa mencuba sesuatu yang baru.

“Harapan Linda agar LR Hijab dapat mencipta kejayaan setanding dengan jenama tudung lain dari Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia,” ujarnya sambil berkongsi mengenai kelebihan LR Hijab.

LR Hijab menggunakan material yang berkualiti dan memiliki reka bentuk yang eksklusif dan unik. Selain selesa, koleksi LR Hijab juga senang serta cepat dipakai, sesuai untuk golongan wanita berkerjaya dan berkeluarga seperti Linda.

Kainnya yang nipis membuatkan si pemakai tidak berpeluh dan sesuai untuk mereka yang mempunyai migrain. Tudung semi instant juga tidak perlu mengenakan pin atau kerongsang dan sangat mudah untuk digayakan.

Dipasarkan pada harga mampu milik bermula serendah RM49.90, LR Hijab boleh didapati secara atas talian di laman sesawang www.lrhijab.com serta laman sosial Instagram LR Hijab.

Ad Ops