Penyanyi dan komposer, Aisha Retno mengakui dia seronok menggunakan aplikasi Threads kerana platform itu membolehkannya menampilkan sisi peribadi yang jarang dilihat peminat.
Menurut Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipuljam, 26, dia pada awalnya membuka akaun Threads hanya untuk mempromosikan lagu raya berjudul Jodoh Lebaran.
Namun tanpa disangka, aplikasi berkenaan menjadi ruang untuk dia berinteraksi secara lebih santai selain berkongsi sisi dirinya yang gemar bergurau.
“Sebenarnya saya buat Threads untuk mempromosikan lagu Jodoh Lebaran. Awalnya saya guna tanpa bimbingan sesiapa dan teroka sendiri.
“Masa mula-mula guna, kandungan yang muncul semuanya kelakar. Jadi saya pun cuba ikut serta dan jadi kelakar juga.
“Sebab itu saya rasa Threads adalah platform yang menyeronokkan,” katanya.
Aisha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Diari Air Mata yang berlangsung di Kenangan Coffee, Singgah Sana, TRX pada Selasa.

Dalam pada itu, pelantun lagu Sutera ini berkata dia tidak perlu berpura-pura ketika menggunakan platform tersebut kerana segala perkongsian dibuat adalah berdasarkan personaliti sebenar dirinya.
“Mungkin ada yang tak tahu, saya sebenarnya suka melawak dan agak ‘ting-tong’ sedikit. Jadi di situ saya hanya jadi diri sendiri.
“Kadang-kadang kita dah penat menyanyi, jadi kita mahu lebih intim dan dekat dengan peminat,” ujarnya.
Malah Aisha juga tidak kisah apabila ada segelintir peminat melabelkannya sebagai ‘ratu kacip’ kerana sering meninggalkan komen dan ciapan lucu di Threads.
Sebaliknya, dia melihat perkara itu sebagai satu bentuk hiburan selagi tidak melampaui batas.
“Memang saya pegang sendiri akaun itu dan saya rasa itulah bahagian yang paling best. Kita boleh jadi diri sendiri.
“Ada juga yang tanya, ‘Aisha kenapa kacip sangat?’ Tapi bagi saya, selagi kita tahu batas dan apa yang kita lakukan itu boleh menghiburkan orang dengan sisi kita yang bukan sebagai penyanyi, kenapa tidak?” katanya.
Mengulas persepsi sesetengah pihak yang menganggap Threads sebagai platform media sosial yang toksik, Aisha berkata dia belum pernah berdepan pengalaman buruk sepanjang aktif menggunakan aplikasi tersebut.
Sebaliknya, kebanyakan kandungan dan interaksi yang diterimanya lebih menjurus kepada perkara positif dan menghiburkan.
“Kalau ikut apa yang saya dengar, memang ada yang kata Threads toksik. Tapi sepanjang saya berada di sana, kebanyakannya kelakar dan membina.
“Mungkin ada satu dua komen yang kurang menyenangkan, tetapi perkara itu biasa. Orang bebas memberikan pendapat masing-masing.
“Selagi ia tidak mengganggu hidup saya, saya layan sahaja,” katanya.








