Categories: Drama

Tonton Apa Hari Ni: ‘Melastik Ke Hatimu’ Musim Kedua

Siri Lestary ‘Melastik Ke Hatimu’ kembali untuk musim kedua. Kali ini, ia memperlihatkan lumrah alam perkahwinan yang pasti ada naik turunnya.

Kehidupan Ziyyad dan pasangannya, Haura, bertambah baik dengan kestabilan kerjaya mereka. Ziyyad telah membina perniagaan yang maju dan mengorak langkah sebagai usahawan berjaya. Haura pula menempa nama sebagai pencipta kandungan (‘content creator’) yang dikenali ramai menerusi media sosial.

Lebih manis lagi, mereka juga sedang menantikan kelahiran cahaya mata yang kedua. Namun, masalah mulai timbul dengan kehadiran Fatin yang membuat latihan praktikal di tempat kerja Ziyyad. Dia telah memulakan langkah untuk menawan Ziyyad.

Walaupun Haura menentang hal ini, dia terpaksa akur dengan keputusan suaminya itu apabila bapanya telah campur tangan untuk memujuk dirinya. Haura sering mengingati Ziyyad supaya tidak tertawan dengan Fatin yang penuh dengan muslihat.

Malah, Haura juga telah mendapatkan bantuan Ain untuk menjadi mata-matanya di pejabat. Kisah ini menjadi lebih menggusarkan dengan Luqman yang menaruh harapan buat Fatin. Dia tidak berputus asa untuk memenangi hati gadis itu dan sentiasa berusaha untuk menjauhkan Fatin daripada terus mendekati Ziyyad.

Cerita Apa? ‘Melastik Ke Hatimu’ Musim Kedua
Hari Apa? Setiap Khamis – Sabtu
Jam Berapa? 9 malam
Di Mana? TV3 dan strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan