Categories: Hiburan

Dapat Peluang Duduk Di Kerusi Sutradara, Hafiz Nafiah Hasilkan Mat Kola

Pelakon Hafiz Nafiah merebut peluang untuk berada di kerusi sutradara selepas kira-kira 20 tahun terlibat dalam dunia seni.

Menurut Hafiz, peluang mengarahkan filem Mat Kola terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu menjadi peluang cukup bermakna untuk dirinya melebarkan sayap.

“Selepas saya rasakan saya dah meraih pengalaman luas dalam bidang seni sebagai pelakon, baru saya menginjak setapak berada di kerusi sutradara.

“Sejujurnya, tak semua orang akan dapat merasakan peluang emas ini. Jadi, apabila saya mendapat ruang, saya tidak mahu melepaskannya dan mencuba sehabis baik,” katanya.

Mengaku sudah lama bersedia untuk mencuba perkara baharu, Hafiz berharap transisi ini menjadi lonjakan untuk dirinya aktif dengan dunia belakang tabir.

“Saya sudah lama bersedia menduduki kerusi pengarah drama, namun, tawaran yang datang adalah projek filem.

“Saya harap filem Mat Kola akan menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjaya sebagai pengarah,” katanya.

Filem Mat Kola berkisar persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki lakonan Usop, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

Antara lain, plot cerita berkisar gelagat dan liku dilalui tiga sahabat itu yang berdepan masalah dalam kehidupan sebelum nekad bekerjasama menjual burger dan membuka gerai.

Selain Usop, Azman dan Taiyuddin, filem Mat Kola menampilkan Rozita Che Wan yang melakonkan watak (Che Som); Ropie (Pak Sheikh); Putri Hanan (Maliah); Fendi London (Bang Lah) dan Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop).

Turut membantu, Abang Gee (Abang Gee); Zainon Ismail (Bang Non); Suhaili Che Rus (Zali); Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

Mat Kola ditayangkan di 65 pawagam di seluruh negara bermula hari ini.

Padin