Categories: Eat Travel

Nikmati juadah pulut mangga manis dalam bentuk bebola

Siapa tidak kenal hidangan pemanis mulut, pulut mangga yang popular di Asia terutamanya Thailand.

Rasa manisnya daripada mangga, digabungkan pula dengan rasa lemak masin daripada pulut dan santan, pastinya akan buat anda terliur. Terliur!

Kebiasaannya buah mangga masak dan pulut santan akan dihidangkan secara berasingkan. Tetapi jika anda ingin serlahkan kreativiti, anda boleh cuba cara hidangan lain!

Resipi yang dikongsikan oleh Tasty ini menampilkan idea yang mana pulut biasa diisikan dengan inti mangga. Kemudian, sos santan dituangkan ke atasnya supaya setiap bebola diselaputi dengan rata.

Hasilnya ialah gabungan rasa yang memang menarik dan unik! Ia mudah juga untuk dibuat, oleh itu jika berminat, rujuk kepada resipi di bawah, ya!

Bahan

  • 3 cawan beras pulut manis, dibilas
  • 900ml air
  • 3 biji mangga
  • 1 ¼ cawan santan
  • 4 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil garam

Cara penyediaan

  1. Di dalam periuk besar atas api besar, gabungkan air dan beras. Tutup periuk itu, biarkan mendidih dan perlahankan api.
  2. Kacau dan tutup semula periuk untuk masak selama 20 minit. Selepas itu, alihkan daripada api dan letak di tepi.
  3. Di atas papan pemotong, potong mangga menjadi bentuk kiub. Letak di tepi untuk digunakan kemudian.
  4. Di dalam pan sederhana dan di atas api besar, campurkan santan, gula dan garam. Biarkan mendidih.
  5. Perlahankan api dan tutup pan selama 10 minit. Sebaik sahaja kuah santan menjadi likat sedikit, alihkan daripada api dan ketepikan.
  6. Lapikkan bahagian dalam sebuah mangkuk kecil dengan plastik kedap udara (plastic wrap). Cedokkan lebih kurang dua sudu besar pulut dan letakkan ke atas plastik tadi. Lenyekkan supaya ia menjadi lapisan pulut yang rata. Letakkan 3 biji kiub mangga di tengah-tengahnya.
  7. Bungkuskan plastic wrap ketat-ketat supaya pulut itu menjadi bebola. Bukakan plastik itu dan keluarkan pulut untuk dihidang. Ulang dengan lebihan pulut dan mangga.
  8. Susunkan bebola pulut di dalam timbunan dan tuangkan kuah santan ke atasnya. Hidang serta-merta.

Rujuk kepada video di bawah untuk bantuan visual. Selamat mencuba!

Ad Ops